Subang, 12 November – Keadaan banjir yang melanda Kampung Melayu Subang semalam tidak menghalang seorang bapa daripada memastikan anaknya hadir ke sekolah, walaupun terpaksa meredah air.
Menerusi video berdurasi 29 saat yang dimuat naik di Threads, Ahmad Firdaus, 39, dilihat mengendong anaknya di atas bahu ketika meredah kawasan banjir untuk ke sekolah.
Kedua-dua beranak itu dilihat memakai baju hujan, sambil membawa plastik berisi pakaian bersih sebagai persediaan sekiranya pakaian anaknya basah.
“Biasanya saya menghantar anak ke sekolah dengan menaiki motosikal. Bagaimanapun, saya telah mengalihkannya ke lokasi yang lebih jauh dari rumah selepas menjangkakan paras air akan meningkat susulan hujan lebat,” katanya ketika dihubungi SAT, hari ini.
Menurutnya, perjalanan dari kediaman mereka ke sekolah anaknya yang terletak di Taman Desa Subang adalah kira-kira 4.5 kilometer.
Katanya, keputusan untuk tetap menghantar anak ke sekolah dibuat kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain memandangkan tiada pihak yang dapat membantu menjaga anaknya ketika dia dan isteri keluar bekerja.
Sementara itu, isterinya, Norkartini, 33, melahirkan rasa syukur kerana banjir kali ini tidak seteruk kejadian sebelum ini yang mencecah sehingga paras lutut.
“Alhamdulillah, hari ini air tidak naik tinggi dan hanya sampai paras buku lali.
“Saya berasa lega kerana air mula surut sekitar jam 9 pagi,” jelasnya.
Walaupun keadaan semakin pulih, Norkartini berkata mereka tetap berdepan tugas berat membersihkan rumah.

Kampung Melayu Subang pernah beberapa kali dilanda banjir kilat sebelum ini, termasuk kejadian pada 18 April 2024 yang menyaksikan kediaman penduduk dinaiki air sehingga paras pinggang.
Pada 2 November 2026 kira-kira 92 rumah di empat jalan sekitar kawasan berkenaan, iaitu Lorong Merbau, Jalan Cengal, Jalan Resak dan Jalan Jati.
Kejadian banjir berulang di Kampung Melayu Subang menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan langkah mitigasi yang dilaksanakan bagi mengatasi masalah tersebut.
Sehubungan itu, penduduk menggesa supaya pihak berkuasa menyegerakan projek tebatan banjir mengelak kejadian sama berulang, khususnya ketika hujan lebat.
