SHAH ALAM – Kira-kira enam hektar Hutan di Jalan Pulau Angsa berhampiran Hutan Simpan Bukit Cherakah terjejas dalam satu kebakaran petang tadi.
Menurut Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4:15 petang.
Empat jentera telah dihantar ke lokasi kebakaran dengan kekuatan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong, Kapar dan Sungai Buloh.
“Empat jentera termasuk sebuah water tanker dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya.
Tambahnya, kebakaran pada mulanya hanya melibatkan kawasan hutan seluas 2.4 hektar, namun merebak kepada enam hektar.
Kebakaran berjaya dikawal dengan 80 peratus kawasan terbakar berjaya dipadamkan setakat pukul 6:30 petang tadi.
“Baki 20 peratus lagi masih dalam proses pemadaman,” katanya.
