436 views 33 secs 0 comments

Naib Canselor ucap takziah, sifatkan kematian Othman kehilangan besar kepada UiTM

In Berita, Kampus
November 28, 2024
Allahyarham yang menghembuskan nafasnya pada usia 65 tahun merupakan kumpulan pertama jurusan Diploma Muzik tahun 1984 dari Kajian Seni Lukis dan Seni Reka (KSSR) dan abang kepada penyanyi Allahyarham Adam Ahmad. (Gambar: Facebook Rasmi UiTM)

UiTM – Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Datuk Dr Shahrin Sahib menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga komposer lagu, Othman Mohamed yang meninggal dunia akibat sesak nafas pada 24 November lalu.

Dr Shahrin menyifatkan pemergian Othman sebagai kehilangan besar kepada universiti tersebut.

“UiTM telah kehilangan seorang individu yang signifikan kepada sejarah iaitu Allahyarhan Othman Mohamed. Allahyarham merupakan pencipta lagu ‘UiTM Di Hatiku’ yang mana lagu ini sering berkumandang di mana-mana acara rasmi universiti ini.

“Sehubungan dengan itu, kami seluruh warga UiTM merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga arwah.

“Marilah sama-sama kita doakan dan sedekahkan Al-Fatihah agar roh Allahyarham dicucuri rahmat,” katanya ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen ke-100 universiti itu pada Isnin.

Allahyarham yang menghembuskan nafasnya pada usia 65 tahun merupakan kumpulan pertama jurusan Diploma Muzik tahun 1984 dari Kajian Seni Lukis dan Seni Reka (KSSR) dan abang kepada penyanyi Allahyarham Adam Ahmad.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Ehsan Seksyen 24, Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam seksyen 21, Shah Alam.

Selain lagu keramat UiTM, Othmad turut menghasilkan beberapa lagu malar segar seperti Kau Pergi Jua, Di Hari Persandinganmu, Episod Cinta, Hanya Di Radio dan banyak lagi.

Sharifah Shazfika
/ Published posts: 2

Mengungkap Cerita, Mencipta Kesedaran Melalui Penulisan