920 views 2 mins 0 comments

SACFC Kekal Dominasi Liga Komuniti Shah Alam

In Berita, Komuniti, Sukan
January 17, 2025
SACFC mempamerkan prestasi konsisten sepanjang lima perlawanan dan kini selesa memimpin carta LKSA.

Seksyen 26 – Shah Alam City FC (SACFC) terus mengekalkan dominasi di tangga teratas Liga Komuniti Shah Alam (LKSA) musim 2024/2025 selepas minggu kelima penganjurannya.

Dalam perlawanan terbaru di Arena 26, pasukan bimbingan Saiful Shaheen itu berjaya menundukkan Asam Pedas FC dengan keputusan 4-1, sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah selepas lima perlawanan. 

Kemenangan tersebut juga membolehkan pasukan yang berpangkalan di Shah Alam itu mengumpul 13 mata, mengatasi dua pencabar terdekat iaitu KL Passion FC dan Airis FC.

Menurut Saiful, walaupun pasukannya menunjukkan prestasi cemerlang, tumpuan akan terus diberikan untuk memantapkan aspek teknikal pemain.

“Kita tidak meletakkan sebarang sasaran dalam liga komuniti ini. Fokus kita adalah memperbaiki aspek teknikal pemain dan menilai persembahan individu.

“Berada di kedudukan teratas adalah sesuatu yang baik, tetapi untuk mengekalkannya, seluruh pasukan perlu konsisten dalam menjalani latihan,” katanya.

Kedudukan Liga Komuniti Shah Alam (LKSA) setakat minggu ke-5.


Saiful turut berkongsi cabaran pasukannya yang terpaksa berdepan dengan kekangan masa sebagai sebuah pasukan amatur.

“Buat masa ini, kita hanya dapat berlatih sekali seminggu. Dalam sesi itu, kita menumpukan kepada latihan teknikal yang teratur supaya pemain dapat mempelajari aspek-aspek yang penting untuk perlawanan.

“Kami menggunakan pendekatan ‘sedikit demi sedikit’ agar pembelajaran dapat diterjemahkan semasa perlawanan,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan lain, jurucakap penganjur, Afiq Amrie, melahirkan rasa teruja terhadap sambutan luar biasa edisi kali ini yang berjaya menarik penyertaan lapan pasukan dari Lembah Klang.

“Penerimaan kali ini sangat positif, lebih-lebih lagi apabila kita baru sahaja memulakan semula penganjuran selepas sekian lama tertangguh.

“Kami juga menerima penyertaan bukan sahaja dari Shah Alam, tetapi juga dari kawasan seperti Puchong, Klang, dan beberapa daerah lain,” katanya.

LKSA pertama kali dianjurkan pada 2018, namun terpaksa dihentikan sementara akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19.

Solehah Azizan
/ Published posts: 6

Menginspirasi perubahan untuk dunia yang lebih baik dengan penulisan.