SHAH ALAM – Mahasiswa perlu menguasai ilmu dan teknologi tanpa mengabaikan nilai serta akhlak terpuji, demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita boleh menggapai langit dengan AI dan teknologi digital, tetapi mesti tetap berakar di bumi dengan nilai, budaya, akidah dan akhlak,” jelasnya.
Anwar turut menekankan kepentingan sahsiah Madani yang seimbang antara kemajuan teknologi dan kekuatan moral.
Menurutnya, golongan tersebut juga perlu berhati-hati supaya tidak hanyut dengan budaya menghukum secara melulu di media sosial.
“Anak muda perlu ada daya tahan, cinta akan negara, sabar dan tidak pantas menghukum dan barulah usaha dalam memastikan sahsiah Madani itu tercapai,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 4,000 mahasiswa pelbagai institut pendidikan tinggi swasta (IPTS) sempena Program Temu Anwar IPTS di Management and Science University (MSU), pada Isnin.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud, Presiden MSU, Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Naib Canselor MSU, Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.
Anwar turut mengingatkan golongan muda agar tidak mengabaikan nilai asas dalam menuntut ilmu meskipun dunia kini berada pada tahap kemodenan yang pesat.
“Terdapat defisit sekarang dengan kita memanggilnya masa Postnormal iaitu dunia menjadi huru-hara dengan pencanggahan kebenaran dan keadilan menjadi relatif.
“Itulah sebabnya kita perlu kembali kepada asas kenapa anda berada di sini (IPT). Ingat, anda bukan ‘sacred cow’, sebaliknya insan yang perlu berpegang kepada nilai dan etika,” katanya.
