1254 views 2 mins 0 comments

Organisasi Media Hidang Pelaporan Seimbang, Berkecuali Jika Mahu Kekal Dalam Industri – Pengamal Media

In Berita
June 01, 2025
Ahli panel bergambar bersama para peserta sempena Kolokium Kewartawanan di Pusat Dagangan Antarabangsa (WTC), Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Organisasi media baik di peringkat tempatan atau antarabangsa perlu menghidangkan pelaporan yang seimbang dan berkecuali sekiranya mahu terus kekal bersaing di dalam industri.

Beberapa pengamal media berpandangan pendekatan tersebut dilihat wajar berikutan persaingan sengit dalam menyampaikan maklumat secara bertanggungjawab di tengah arus berita sensasi dan maklumat berlebihan.

Editor Bersekutu New Straits Times, Najmuddin Najib berkata, media hari ini bukan sekadar bersaing dari segi ketepatan, tetapi juga dalam mendapatkan perhatian khalayak.

“Tajuk sensasi dan kandungan kontroversi sering menjadi tarikan utama, dan ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada organisasi media,” katanya ketika menjadi panel pada Kolokium Kewartawanan anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Rabu.

Beliau turut menambah bahawa media antarabangsa berpengaruh juga tidak terkecuali daripada pengaruh agenda politik, pemilikan atau sumber kewangan yang boleh mempengaruhi hala tuju pemberitaan.

“Kita perlu teliti dari mana datangnya sumber. Meskipun ia kelihatan sahih, tidak semestinya ia bebas daripada pandangan berat sebelah.

“Ada kalanya, berita itu mewakili pandangan sesetengah pihak, bergantung kepada siapa yang membaca dan bagaimana ia ditafsir,” tambahnya.

Dunia kewartawanan masa kini mengalami perubahan drastik berikutan kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI),  tempo pemberitaan pantas, serta penularan maklumat palsu yang mencabar kredibiliti media profesional. 

Bagi Perunding Media Bebas, Muzliza Mustafa, walaupun media perlu bersaing dari sudut keuntungan, mereka juga terikat dengan kod etika yang membezakan mereka daripada entiti perniagaan lain.

“Untuk terus kekal, media perlu mencari imbangan antara keperluan menjana pendapatan dan kewajipan menyampaikan kebenaran. Hanya dengan menjadi neutral dan telus, reputasi sesebuah media boleh dikekalkan,” katanya.

Syafi Fauzan
/ Published posts: 7

Berita itu nyawa, fakta itu senjata. Tugasku untuk memastikan masyarakat tidak buta.