BEIJING – Beberapa syarikat teknologi utama China bertindak menyekat fungsi kecerdasan buatan (AI) mereka sepanjang peperiksaan kemasukan kolej kebangsaan, gaokao berlangsung bagi mengelak penipuan akademik.
Peperiksaan yang bermula pada Sabtu selama empat hari itu menyaksikan sebanyak 13.3 juta pelajar mengambil bahagian bagi merebut tempat terhad di universiti.
Dalam tangkap layar yang dimuat naik di media sosial, seorang pelajar telah memuat naik kertas soalan peperiksaan ke Doubao, milik ibu syarikat TikTok iaitu ByteDance. Aplikasi tersebut membalas, “khidmat menjawab soalan peperiksaan akan digantung ketika gaokao”.
Pengguna tersebut turut mencuba, “ini bukan peperiksaan kemasukan kolej,” namun jawaban yang sama diperoleh daripada aplikasi berkenaan.
Tangkap layar yang lain turut menunjukkan DeepSeek, aplikasi AI yang sedang menerajui China, memaklumkan perkhidmatan mereka turut tergendala pada masa tertentu “demi memastikan kejujuran dalam jawapan peperiksaan”.
Menurut laporan Bloomberg, Yuanbao, syarikan teknologi milik Tencent, Alibaba Qwen dan Moonshot Kimi turut menutup fungsi pengesanan gambar ketika jam peperiksaan.
Menurut The Guardian, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh syarikat-syarikat teknologi berkenaan sekatan sementara ini. Penggantungan ini nampaknya telah diumumkan secara meluas oleh pelajar universiti yang telah disekat daripada menggunakan alat yang membantu mereka dalam pembelajaran dan tugasan.
“Calon ujian kemasukan kolej, anda semua tak guna” rungut seorang pengguna di Weibo. “Saya tidak boleh gunakan DeepSeek untuk muat naik gambar dan perlu muat turun ChatGPT sekali lagi. Semoga anda semua pergi ke kolej komuniti.”
Penggantungan AI bukanlah satu-satunya langkah yang digunakan untuk mencegah penipuan semasa minggu gaokao, yang boleh menentukan masa depan seseorang pelajar. Beberapa wilayah sebelum ini telah mengumumkan bahawa mereka akan menggunakan alat pemantauan AI untuk mengesan “tingkah laku luar biasa”, seperti berbisik atau pandangan berulang antara pelajar semasa peperiksaan.
Sebagai contoh, di wilayah Jiangxi, rakaman video akan disemak semula selepas peperiksaan dan sebarang pelanggaran atau salah laku akan “ditangani dengan tegas mengikut peraturan yang berkaitan”, lapor Global Times.
Akhir bulan lalu, pihak berkuasa China turut mengumumkan pemeriksaan kemasukan yang lebih ketat di lokasi peperiksaan, pengenalan biometrik, pemeriksaan lebih teliti terhadap peranti digital dan penyekat isyarat radio, menurut laporan media rasmi.
Melihat betapa pentingnya masyarakat China memandang gaokao beberapa bandar telah menunda acara yang boleh mengganggu seperti persembahan awam. Waktu pekerjaan juga dilambatkan bagi memberi keutamaan laluan kepada para pelajar supaya tiba ke tempat peperiksaan tepat pada waktu.
https://www.theguardian.com/world/2025/jun/09/chinese-tech-firms-freeze-ai-tools-exam-cheats-universities-gaokao: Syarikat Teknologi China Sekat Penggunaan AI, Elak Penipuan dalam Peperiksaan
