971 views 3 mins 0 comments

Krisis Matcha Cetus Perdebatan Masyarakat Jepun

In Rencana
June 18, 2025
Minuman berasaskan matcha jadi trend di serata dunia. (Foto : Pinterest)

TOKYO – Serbuk teh hijau Jepun atau lebih dikenali sebagai matcha kini berdepan krisis global berikutan lonjakan permintaan luar biasa dari seluruh dunia sehingga mengancam bekalan dan kestabilan harga pasaran.

Permintaan terhadap matcha tidak lagi terbatas dalam kalangan peminat teh tradisional, malah turut merangkumi pengguna moden yang tertarik dengan nilai kesihatan, keaslian rasa dan warnanya yang menarik.

Dari minuman sejuk hingga manisan berlabel mewah, teh hijau kaya antioksidan ini kini menjadi bahan utama dalam pelbagai produk kulinari global.

Namun, peningkatan mendadak ini tidak selari dengan kapasiti pengeluaran sedia ada. Penanaman dan pemprosesan matcha memerlukan teknik khusus, termasuk penanaman daun teh tencha di bawah naungan selama beberapa minggu serta pengisaran halus menggunakan batu giling.

Proses ini memerlukan masa dan tenaga kerja mahir, sekali gus menyukarkan pengeluaran secara besar-besaran.

Kerajaan Jepun telah melancarkan inisiatif subsidi bagi menggalakkan petani beralih kepada penanaman tencha, namun data menunjukkan jumlah petani teh Jepun merosot daripada lebih 53,000 orang pada tahun 2000 kepada hanya 12,353 orang menjelang 2020.

Perubahan demografi luar bandar turut menyumbang kepada kekurangan tenaga kerja dalam industri ini.

China kini muncul sebagai pengeluar matcha terbesar dunia, namun lebih menumpukan kepada penghasilan secara pukal berbanding kualiti premium.

Situasi ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna dan penggemar teh tulen terhadap matcha berkualiti rendah di pasaran.

Di United Kingdom, jualan produk matcha meningkat hampir tiga kali ganda dalam setahun, mengatasi jualan teh popular seperti Earl Grey.

Di Amerika Syarikat pula, minuman tinggi katekin ini semakin digunakan sebagai pengganti kopi manakala pengeluar eropah merancang untuk meningkatkan bekalan sehingga 10 kali ganda dalam lima tahun.

Penganalisis menjangkakan pasaran global matcha bakal mencecah nilai AS$5 bilion menjelang tahun 2028, dengan kadar pertumbuhan tahunan melebihi 10 peratus sejak 2023.

Permintaan luar jangka ini memberi tekanan kepada bekalan sedia ada dan boleh menyebabkan harga melambung tinggi, terutamanya bagi matcha gred premium.

Dalam ruangan komentar beberapa portal berita tempatan, segelintir pengguna meluahkan kebimbangan terhadap kualiti matcha masa depan:

“Jepun menjualnya terlalu murah. Ia sepatutnya dipasarkan sebagai produk mewah kerana sememangnya begitu.”

“Saya tidak fikir matcha ialah trend sementara kerana ia boleh digunakan dalam pelbagai cara.”

“Siapa yang memberitahu semua orang bahawa matcha itu sedap?”

Situasi ini mengundang persoalan besar terhadap hala tuju industri teh Jepun serta kesan rantaian terhadap negara pengimport, termasuk Malaysia, yang turut menyaksikan peningkatan dalam pengeluaran produk berasaskan matcha di pasaran tempatan.

Krisis ini juga memperlihatkan keperluan kepada pelaburan lestari dalam sektor pertanian teh, selain kesedaran pengguna terhadap pemilihan produk berkualiti dan sokongan terhadap amalan pengeluaran mampan.

https://soranews24.com/2025/06/03/matcha-crisis-emerges-as-the-world-falls-in-love-with-powdered-green-tea/amp/: Krisis Matcha Cetus Perdebatan Masyarakat Jepun
Balqis Zulkifli
/ Published posts: 4

Dunia sentiasa berputar, setiap cerita perlu didengari, dan saya di sini untuk melaporkannya.