501 views 3 mins 0 comments

Larian Amal UiTM Shah Alam Kumpul RM1,200 untuk Pesakit Kanser

In Sukan
June 19, 2025
Pelajar Semester 5 dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara ( UiTM) bergambar bersama peserta larian HopeTrack : Run & Give, United for Cancer

SHAH ALAM – Sebanyak RM 1200 berjaya diraih melalui program larian HopeTrack : Run & Give, United for Cancer 2025 yang berlangsung pada 14 Jun 2025 yang bertempat di Laman Budaya , Taman Tasik Seksyen 14, Shah Alam.

Program ini merupakan anjuran oleh pelajar semester lima Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap penyakit, dan mengumpul dana bagi membantu pesakit yang kurang berkemampuan melalui kerjasama strategik dengan Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

Dana sebanyak RM1,200 yang berjaya dikumpul akan disalurkan kepada MAKNA dan digunakan untuk membantu pesakit kanser yang memerlukan seperti pembiayaan chemoport, alat prostetik, ubat bukan formulari, kerusi roda serta keperluan rawatan kritikal lain.

Menurut Encik Firman yang merupakan wakil jurucakap MAKNA, mereka sangat berbesar hati atas penganjuran program ini dan menyifatkan usaha seperti ini sebagai satu langkah tepat yang perlu diteruskan oleh lebih banyak institusi pendidikan serta organisasi masyarakat.

Beliau menambah bahawa peningkatan kes kanser saban tahun memerlukan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak untuk memperkukuh kesedaran dan bantuan yang diberikan.

“Dalam era media sosial hari ini, platform digital memainkan peranan besar dalam menyampaikan maklumat dan menarik penyertaan orang ramai.

Justeru, penggunaan media sosial sebagai saluran promosi oleh penganjur adalah satu pendekatan yang bijak dan relevan,” katanya lagi.

Larian sejauh empat kilometer ini bukan sahaja menyaksikan penyertaan masyarakat setempat, malah turut menampilkan elemen sokongan moral dengan sesi perkongsian inspirasi secara maya oleh bekas pesakit kanser, menjadikannya satu pengalaman yang menyentuh hati serta memberi inspirasi kepada para peserta.

Setiap peserta menerima kit penyertaan yang merangkumi jersi eksklusif, medal kenang-kenangan dan barangan istimewa yang menjadi simbol sokongan terhadap pesakit kanser.

Aktiviti ini juga menonjolkan semangat kesukarelawanan dan nilai empati dalam kalangan generasi muda.

Beliau menambah bahawa peningkatan kes kanser saban tahun memerlukan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak untuk memperkukuh kesedaran dan bantuan yang diberikan.

“Dalam era media sosial hari ini, platform digital memainkan peranan besar dalam menyampaikan maklumat dan menarik penyertaan orang ramai.

Justeru, penggunaan media sosial sebagai saluran promosi oleh penganjur adalah satu pendekatan yang bijak dan relevan,” katanya lagi.

Ketua program, Nurul Nadirah, menzahirkan rasa bangga terhadap dedikasi dan kerjasama yang ditunjukkan oleh ahli pasukannya.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran semasa perancangan dan pelaksanaan, beliau menyifatkan kejayaan penganjuran ini sebagai satu pencapaian yang bermakna dan memberi impak positif kepada masyarakat.

“Program ini telah membuka mata ramai pihak tentang pentingnya memberi, walau dengan langkah kecil.

“Harapan kami, mesej kesedaran ini akan terus hidup dalam kalangan masyarakat, dan kami berharap untuk meneruskan inisiatif seperti ini pada masa akan datang,” katanya.

Khalish Fadzly
/ Published posts: 1

Tiada Emosi, Hanya Fakta