SHAH ALAM – Rata-rata ibu bapa menyambut baik langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperkukuh keselamatan digital pelajar melalui penguatkuasaan serta kehadiran pihak berkuasa di sekolah.
Menurut Shuhadah Zamree, 30, inisiatif kerajaan ini dianggap sebagai langkah yang baik bagi membendung masalah sosial dalam kalangan pelajar.
“Saya rasa langkah kerajaan itu sangat baik sebab sekarang ni banyak sangat pengaruh negatif di media sosial.
“Sekurang-kurangnya bila ada dasar dan pemantauan yang lebih ketat, anak-anak kita boleh belajar guna internet dengan cara yang lebih selamat dan beretika,” kata ibu kepada seorang anak itu.

Pandangan ini turut disokong oleh ibu bapa lain yang menekankan kepentingan pengawasan keselamatan digital di sekolah.
Menurut Norlizawati Jaafar, 46, dia sangat bersetuju dengan kehadiran polis di sekolah bagi memantau keselamatan digital pelajar.
“Saya setuju, asalkan pendekatannya berbentuk mendidik sebab kehadiran polis boleh beri kesedaran kepada pelajar tentang undang-undang siber dan tanggungjawab mereka bila guna media sosial,” jelasnya.
Tambahnya, penyalahgunaan peranti dan media sosial yang semakin membimbangkan ini memberikan kesan buruk bukan sahaja kepada sahsiah diri pelajar malah interaksi bersama keluarga.
“Ada juga kes buli siber, kongsi maklumat peribadi tanpa sedar dan semua tu boleh jejaskan emosi dan keselamatan mereka jika tidak dibendung dengan lebih awal,” katanya lagi.
Manakala, Rajaletchumy Ganesan, 43, menyokong tindakan KDN dan PDRM kerana ia dapat membantu meringankan tanggungjawab ibu bapa dalam memantau aktiviti dalam talian anak-anak.
“Sebagai ibu, saya rasa lebih tenang bila tahu ada pemantauan daripada pihak berkuasa kerana dengan usaha ini boleh mengurangkan risiko anak-anak terlibat dalam buli siber,” katanya.
Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengumumkan tindakan bersepadu membanteras kejadian buli siber di sekolah melalui penglibatan PDRM secara menyeluruh.
“Langkah ini dilakukan bagi membendung penyalahgunaan peranti dan media sosial dalam kalangan pelajar,” katanya.
