SHAH ALAM, 26 OKT – Festival Mega iLINDUNG-U anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjaya menarik lebih 50,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya di Dataran Karnival, Perkarangan Stadium Shah Alam, minggu lalu.
Ketua Penjenamaan Media dan Perhubungan Awam PERKESO, Dato’ Tengku Khalidah Tengku Bidin, 51, berkata festival tersebut bertujuan mendekati masyarakat dengan lebih santai dan membawa pendedahan kepada komuniti di Shah Alam tentang perlindungan keselamatan sosial negara.

“Kalau dulu PERKESO ada banyak produk seperti skim perlindungan, skim keselamatan sosial suri rumah, skim pekerjaan sendiri dan pelbagai lagi yang sukar diingati, kini semuanya dijenamakan di bawah satu nama, iaitu LINDUNG.
“Kita ada Lindung Pekerja, Lindung Kendiri, Lindung Kerjaya dan Lindung Kasih. Festival ini diadakan untuk mempromosikan penjenamaan baharu produk-produk tersebut,” katanya.
Shah Alam merupakan lokasi pertama siri jelajah karnival tersebut yang melibatkan beberapa bandar lain di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Tengku Khalidah berkata, manfaat LINDUNG boleh dinikmati pelbagai segmen masyarakat meliputi suri rumah, individu kehilangan kerja, pekerja sendiri (gig) serta pekerja formal yang mengalami risiko kemalangan, kehilangan pendapatan dan kematian.

Orang ramai yang hadir turut mengambil kesempatan mendaftar dan menyemak status caruman, mendapatkan khidmat nasihat terus daripada pegawai PERKESO serta mendapatkan pelbagai inisiatif perlindungan keselamatan sosial yang ditawarkan.
Selain itu, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan daripada Drama Band serta personaliti terkenal tanah air seperti Maria Tunku Sabri dan sesi perkongsian pengalaman aktivis kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad.
Turut diadakan pameran kerjaya oleh MyFutureJobs melibatkan 12 majikan dan rakan strategik lain yang menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan dengan tawaran gaji mencecah RM10,000.
