SHAH ALAM – Walaupun diduga masalah kesihatan yang kritikal, mantan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor nekad menyiapkan penulisan buku sulungnya sambil menerima rawatan di hospital.
Beliau yang merupakan Naib Canselor wanita UiTM pertama bersyukur dapat merealisasikan penerbitan buku tersebut.
“Saya bersyukur, tapi dalam masa yang sama saya risau sebab bukan mudah untuk melihat wanita lain naik ke tahap yang sama.
“Mereka perlu digilap, seperti saya pernah digilap dulu,” ujarnya.
Perkara tersebut didedahkannya ketika menjadi tetamu program Resensi Buku Menakluk Puncak Dunia: Sentuhan Srikandi yang diadakan di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), UiTM, di sini, pada Rabu lepas.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr Mohd Sazili Shahibi dan warga universiti tersebut.
Program tersebut merupakan antara pengisian sempena penganjuran Invention, Innovation and Design Exposition (iidex2025) yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam dari 28 hingga 30 Oktober 2025.
Pada September 2020, beliau secara rasmi telah dilantik sebagai Naib Canselor setelah melalui proses pemilihan yang berlangsung selama enam bulan sahaja.
Perjalanannya terus menjadi sumber inspirasi dengan pelancaran buku yang menghimpunkan kisah perjuangan dan sumbangannya sebagai bekas Naib Canselor keenam.

Jelasnya, naskah yang ditulis bersama Pensyarah Akademi Pengajian Bahasa, Prof. Madya Dr. Norhazlina Husin, bukan sahaja merakam perjalanan seorang Naib Canselor, tetapi sebagai panduan kepimpinan dan pengurusan berkesan kepada generasi pemimpin akademik wanita pada masa akan datang.
“Kami menulis bukan untuk mengangkat individu, tapi untuk membuka jalan kepada wanita yang akan menjadi Naib Canselor seterusnya,” ujarnya.
Jelasnya lagi, buku ini mengisahkan bagaimana seorang ahli statistik mampu mencorak hala tuju institusi pendidikan terbesar di Malaysia hingga ke pentas antarabangsa melalui pendekatan berasaskan quality analytics dan budaya pengurusan sistematik.
Untuk rekod, UiTM mencatatkan pencapaian cemerlang dalam QS World University Ranking (555) dan QS Asia Ranking (98) ketika dipimpin Dr. Roziah.
