SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjalin kerjasama dengan Universiti Internasional Batam (UIB) dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk kerjasama dalam memperkukuhkan hubungan akademik dan pembangunan pelajar.
Melalui kerjasama ini, kedua-dua universiti akan menganjurkan pelbagai aktiviti seperti pertukaran pelajar, kolokium akademik bersama, latihan kepimpinan pelajar, dan projek khidmat komuniti rentas negara.
UiTM diwakili Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar Jabatan Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Madya Dr. Mohammad Noor Jalil, manakala Timbalan Rektor Kemahasiswaaan dan Kerja Sama, Dr. Hepy Hefri Aryanto mewakili UIB.
Kerjasama strategik ini juga memberi peluang kepada perkongsian rentas-budaya dan sesi dialog kepimpinan kepada wakil pelajar UiTM dan juga wakil pelajar UIB.
Untuk rekod, MoU UiTM – UIB berkuat kuasa serta merta dan akan kekal untuk tempoh tiga tahun.
Hadir sama, Pengetua Kolej Kediaman Teratai, Izuan Izzaidi Azmi dan Dekan Fakulti Ilmu Komputer UIB, Dr. Tony Wibowo.
UIB memiliki tujuh fakulti terdiri daripada Fakulti Kejuruteraan Awam dan Perancang, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Fakulti Undang-undang, Fakulti Ilmu Pendidikan, Fakulti Ilmu Komputer, Fakulti Kesihatan dan Sains, dan Fakulti Perubatan.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, satu program rentas budaya telah diadakan melibatkan delegasi Kolej Kediaman UiTM Shah Alam bersama mahasiswa UIB sempena Kembara Ilmu & Bakti Nusantara.

Beberapa aktiviti seperti perbincangan dua hala berkaitan pembangunan komuniti, sesi kolokium, klinik bahasa Inggeris bersama komuniti dan juga pemberian sumbangan keperluan asas kepada masyarakat setempat.
Sementara itu, Pengarah Program, Ahmad Mustaqim Ishak berkata, kerjasama tersebut dapat mendedahkan pelajar kepada kehidupan dalam budaya yang berbeza.
“Program ini sedikit sebanyak memberikan kami kesedaran tentang bagaimana komuniti rentas budaya menjalani kehidupan seharian.

“Mereka amat berbesar hati menerima kunjungan kami dan ia boleh dianggap sebagai satu kerjasama berskala besar di antara UiTM dan institusi pendidikan di Indonesia,” katanya.
