SHAH ALAM – Kecederaan tidak menghalang Muhammad Haiqal Hasnor, 23, untuk berusaha menempatkan diri dalam senarai 14 pemain akhir skuad futsal Harimau Malaya ke temasya Sukan SEA 2025 di Thailand yang akan membuka tirainya pada 9 hingga 20 Disember ini.
Pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UiTM masih menahan kesakitan kerana psoas muscle tear, iaitu kecederaan pada otot utama pinggul yang penting untuk pergerakan larian, tendangan dan perubahan arah.
Muhammad Haiqal yang juga anak kedua daripada empat beradik ini sudah tiga kali menyertai kem kebangsaan futsal, yang dianggapnya sebagai peluang penting untuk membuktikan kemampuan.
Baru-baru ini, dia membantu skuad UiTM muncul juara kategori lelaki di Kejohanan IPT Futsal Cup 2025 yang berlangsung di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada 6 hingga 9 November lalu.
Bukan itu sahaja, Muhammad Haiqal berjaya merangkul anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP), sekali gus menambah keyakinannya sebelum memasuki kem kebangsaan.
“Walaupun psoas saya belum pulih sepenuhnya, saya cuba beri 100 peratus setiap sesi latihan futsal,” kata Haiqal, yang turut mengimbangi jadual kuliah dan tugasan seperti pelajar lain.
Persaingan untuk merebut tempat dalam senarai 14 pemain akhir amat sengit, melibatkan pemilihan di antara pemain senior dan pemain muda berbakat.
“Coach selalu beri arahan jelas setiap sesi, supaya kami tahu mana nak tingkatkan permainan dan tidak buang masa,” katanya kepada Shah Alam Times.
Di luar padang, Haiqal menjalani rutin dua sesi latihan setiap hari walaupun jadual akademiknya sama seperti pelajar biasa.
Sokongan keluarga serta tunjuk ajar kapten senior, Khairul Effendy Bahrin, menjadi faktor penting yang membantunya kekal fokus.
“Setiap sesi kem kebangsaan beri cabaran tersendiri, terutama untuk kekal fokus dan pulih daripada cedera sambil bersaing dengan pemain lain,” katanya, menekankan proses yang membentuk mental dan fizikalnya sebagai pemain futsal.
Bagi Haiqal, sasaran utamanya bukan sekadar disenaraikan dalam pasukan, tetapi membuktikan bahawa pelajar universiti mampu bersaing di peringkat elit dan memberi inspirasi kepada pelajar-atlet lain.
Dengan disiplin, sokongan mentor, dan komitmen terhadap pembelajaran serta futsal, pemain muda itu kini menanti peluang untuk menunjukkan kemampuan sebenar di pentas antarabangsa dan membantu membawa Malaysia kembali ke podium Sukan SEA.
