378 views 34 secs 0 comments

Ribut Tropika Senyar Turun Taraf, beralih ke Timur

In Berita
November 28, 2025
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip memberi penerangan semasa sidang media mengenai kemaskini terbaharu ribut Tropika Senyar.

SHAH ALAM Ribut Tropika Senyar kini telah melemah dan diturun taraf kepada sistem cuaca tekanan rendah, selepas memasuki perairan Semenanjung Malaysia.

Ketua Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, sistem cuaca ini sedang berada di tengah Semenanjung Malaysia dan diramalkan akan meneruskan pergerakannya ke arah timur, menuju perairan Laut China Selatan.

Tambahnya, Senyar telah mendarat sekitar tengah malam tadi di kawasan pantai antara sempadan negeri Selangor dan Negeri Sembilan.

“Meskipun melemah, aktiviti pembentukan awan hujan kekal aktif hingga kini menyebabkan situasi ini berpotensi mencetuskan hujan berterusan, di samping tiupan angin kencang dan laut yang bergelora di beberapa kawasan.

“Kesan cuaca buruk ini dijangkakan berlanjutan sehingga esok (29 November), khususnya menumpukan Pahang dan Terengganu, selain turut memberi impak di kawasan lain di Semenanjung,” ujar beliau. 

Beliau berkata, MetMalaysia akan sentiasa mengawasi perkembangan sistem ini dan mengemaskini maklumat cuaca jika terdapat sebarang perubahan ketara. 

Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia dengan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi mobile myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638.

Shahirah Anuar
/ Published posts: 2

Menulis bukan sekadar berita, tapi kisah manusia.