74 views 2 mins 0 comments

UiTM Shah Alam pilihan cawangan ketiga Restoran Hakim

In Berita, Kampus
April 17, 2026
Datuk Hakimsa pada hari pembukaan cawangan ketiga miliknya di UiTM Shah Alam

SHAH ALAM – Selepas 27 tahun beroperasi, restoran mamak terkenal di Shah Alam, Restoran Hakim  melebarkan sayapnya dengan membuka cawangan ketiga di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini.

Pemilik restoran tersebut, Datuk Hakimsa Abdul Karim berkata, pemilihan UiTM Shah Alam sebagai lokasi baharu cawangan yang bernama Hakim Cafe ini merupakan tanda penghargaan kepada pelanggan setianya yang selama ini terdiri daripada pelajar-pelajar universiti berkenaan.

Menurut beliau, rata-rata pelanggan di dua cawangan Restoran Hakim sedia ada merupakan pelajar UiTM yang menjadikan pembukaan kafe dalam kampus dilihat sebagai satu usaha untuk mendekati golongan itu, selain memudahkan mereka untuk mendapatkan makanan.

Datuk Hakimsa berkata demikian ketika majlis perasmian cawangan di Kafeteria Kompleks Sukan UiTM Shah Alam yang kini berwajah baru, semalam.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi (empat dari kanan) dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay (tiga dari kanan) hadir pada majlis perasmian Hakim Cafe di UiTM Shah Alam, di sini.

Bersempena pembukaan itu, sebanyak 1,000 hidangan makanan percuma diberikan kepada warga UiTM Shah Alam bermula jam 11 pagi.

Dalam pada itu, pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Aiman Daniel menyambut baik pembukaan kafe tersebut kerana menawarkan pilihan makanan yang mampu milik.

“Bila ada Hakim ni makanan di sini mampu milik. Ini merupakan satu inisiatif yang dapat memudahkan pelajar,” katanya.

Sementara itu, pelajar jurusan Sains Komputer Matematik, Muhamad Azim berkata, pembukaan cawangan itu memberi kemudahan kepada pelajar kerana mereka tidak lagi perlu keluar dari kampus untuk mendapatkan makanan, terutamanya pada waktu malam.

Dalam pada itu, Datuk Hakimsa memberi jaminan bahawa aspek kebersihan dan kualiti makanan akan sentiasa menjadi keutamaan pengurusan restoran tersebut.

Beliau berkata, bahan mentah segar akan digunakan selain pemantauan kebersihan dilakukan secara berterusan demi menjaga kebajikan pelanggan khususnya pelajar.

“Saya memang jaga harga sebab ini kawasan pelajar. Kita tak boleh sesuka hati naikkan harga. Kalau barang naik, semua orang naik dulu, baru kita ikut. Kalau turun, kita pun akan turunkan,” katanya kepada Shah Alam Times.

Cawangan baharu ini akan beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 11 malam, berbeza dengan dua lagi cawangan sedia ada.

Kafe berkenaan dijadualkan akan mula beroperasi secara rasmi pada Jumaat (17 April), bermula pada jam 2 petang, selepas solat Jumaat.

Arissa Khairul
/ Published posts: 1

Marilah kita merungkai kebenaran