81 views 3 mins 0 comments

Mahasiswa UiTM Shah Alam terokai pengalaman pendidikan antarabangsa di Indonesia

In Berita, Kampus
April 21, 2026
Pelajar UiTM Shah Alam bergambar sebelum berlepas ke Indonesia

SHAH ALAM – Dalam usaha memperluas pendedahan global dan memperkukuh kolaborasi antarabangsa, sekumpulan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, menyertai Equity Program – Community Development: Creative Learning Media, School Immersion & Baduy Cultural Experience International Summer Camp yang berlangsung di Indonesia baru-baru ini

Program yang berlangsung selama 10 hari itu melibatkan enam hari aktiviti fizikal dan empat hari secara dalam talian di Jakarta serta Baduy dan melibatkan lebih 150 peserta daripada pelbagai universiti antarabangsa.

Ketua program, Nur Queen Via’ariqa Dinie Wirakarnain berkata, inisiatif tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai penggunaan media kreatif dan inovasi digital dalam pendidikan serta pembangunan komuniti.

“Program ini menggabungkan pembelajaran akademik dengan pengalaman praktikal melalui aktiviti seperti school immersion, yang membolehkan peserta memahami sistem pendidikan serta berinteraksi secara langsung dengan pelajar dan tenaga pengajar di Indonesia,” katanya kepada Shah Alam Times.

Pelajar UiTM Shah Alam menjalani sesi workshop bersama komuniti setempat

Menurutnya, program ini turut memberi peluang kepada peserta memahami pembangunan berasaskan komuniti melalui kerjasama dengan Universitas Negeri Jakarta, selain menghargai kearifan budaya tempatan menerusi pengalaman bersama komuniti Baduy.

“Melalui program ini, kami dapat memahami dengan lebih mendalam persamaan dan perbezaan budaya, di samping belajar serta menelusuri pengalaman masyarakat setempat termasuk komuniti Baduy,” katanya kepada Shah Alam Times.

Program ini turut mencapai potensi serta objektif yang ditetapkan berdasarkan penyertaan meluas serta penglibatan aktif peserta.

“Keberkesanan program diukur melalui tahap penglibatan peserta melalui sesi dalam talian dan aktiviti seperti workshop, school immersion dan cultural experience, selain penilaian terhadap hasil tugasan serta maklum balas peserta,” katanya kepada Shah Alam Times.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah penghasilan social story melalui teknik storyboard, selain pendedahan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) seperti penulisan prompt dan penghasilan video bagi memperkukuh kaedah pengajaran kreatif.

Sementara itu, Muhammad Fitri Syabil Azizan yang merupakan peserta program ini menyifatkan pengalaman menyertai program tersebut sebagai sesuatu yang sangat bermakna, khususnya apabila diberi peluang untuk menimba ilmu di luar negara.

“Walaupun tempohnya singkat, pengalaman ini memberi makna besar kerana ia membuatkan saya rasa segala usaha dan komitmen yang diberikan selama ini dihargai, sekali gus menjadi satu momen yang melengkapkan perjalanan saya sebagai seorang pelajar,” katanya.

Peserta program menyertai aktiviti budaya bersama komuniti Baduy di Indonesia

Selain itu, peserta turut berpeluang menyertai lawatan ke kawasan Baduy bagi tujuan pertukaran budaya serta memahami kehidupan masyarakat tempatan yang masih mengekalkan tradisi dan nilai warisan.

Penganjuran program seumpama ini diharap dapat diteruskan dalam melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global serta mempunyai kesedaran sosial yang tinggi.

Naufal Muammar
/ Published posts: 1

chatterbox