SHAH ALAM – Isu ketiadaan pensyarah pada awal semester dan kualiti tenaga pengajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menjadi perdebatan utama yang dibangkitkan oleh mahasiswa dalam program Voice Out: Call To Action, yang berlangsung di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam, semalam.
Program yang dilaksanakan semula selepas dua tahun penganjurannya menjadi platform para mahasiswa untuk menyuarakan pendapat, cadangan serta isu semasa yang menyentuh kebajikan dan kesejahteraan pelajar.
Dalam sesi tersebut, mahasiswa bertanya sama ada jumlah pensyarah sedia ada mencukupi untuk menampung keperluan pembelajaran.
Menjawab perkara tersebut, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi berkata, UiTM mempunyai hampir 9,000 kakitangan dan pihak pengurusan menekankan penambahbaikan berterusan dalam kualiti tenaga pengajar.
Menurut beliau, kelayakan akademik menjadi antara keutamaan dalam pemilihan pensyarah.
“Kualiti pensyarah perlu mempunyai sekurang-kurangnya kelayakan Master dan sebolehnya mempunyai Ijazah Kedoktoran (PhD),” ujarnya dalam program tersebut.
Beliau turut menjelaskan bahawa pensyarah baharu perlu melalui tempoh kontrak tiga tahun sebelum disahkan jawatan tetap, sebagai sebahagian proses penilaian prestasi.
Dalam pada itu, Prof. Dr. Mohd Sazili menegaskan bahawa pelajar mempunyai saluran rasmi bagi menyuarakan masalah, termasuk melalui Penasihat Akademik (PA), Sistem Maklum Balas Pelajar (SUFO), serta Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik di Fakulti.
“Jika ada masalah, jangan tunggu. Beri maklum balas dalam semester semasa. Maklumkan pada Penasihat Akademik,” jelasnya.
Tambah beliau, UiTM turut melaksanakan pemantauan menyeluruh melalui audit dalaman dan luaran bagi setiap program yang ditawarkan.
“Setiap program dinilai oleh penilai luar dan dapatan akan dibentangkan di senat UiTM. Jika ada isu seperti pencapaian pelajar yang rendah, fakulti perlu memberi penjelasan dan penambahbaikan akan dibuat,” ujarnya lagi.
Proses ini melibatkan sekurang-kurangnya 520 program di UiTM sebagai sebahagian daripada usaha menjamin kualiti pendidikan.
Walaupun begitu, Prof. Dr. Mohd Sazili menekankan bahawa keberkesanan sistem bergantung kepada keberanian pelajar untuk bersuara.
“Sepanjang 30 tahun pengalaman saya, tidak pernah ada pelajar dibuang kerana membuat aduan. Jangan diam, beri maklum balas,” katanya.
