29 views 3 mins 0 comments

PAUiTM Cadang UiTM Dimasyhurkan Sebagai Universiti Diraja

In Berita, Kampus
May 08, 2026
Kredit: FB - Persekutuan Alumni Universiti Teknologi MARA Malaysia

SHAH ALAM – Persekutuan Alumni Universiti Teknologi MARA Malaysia (PAUİTM) berpandangan universiti itu wajar dimasyhurkan sebagai Universiti Diraja mengambil kira peranan dan sumbangan besar institusi itu kepada negara sejak penubuhannya.

PAUiTM memaklumkan cadangan itu adalah selaras dengan titah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro-Canselor UiTM, yang menyifatkan institusi pengajian tinggi awam itu umpama sebuah Universiti Diraja dalam Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104 pada Rabu lepas.

Mengambil hikmah dan tilik pandang titah Tengku Permaisuri Selangor itu, PAUiTM berpandangan amatlah wajar sekiranya UiTM dapat dimasyhurkan sebagai sebuah Universiti Diraja.

“Lebih signifikan, Perkara 1(A) Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173) turut memperuntukkan bahawa universiti ini ditubuhkan menurut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, sekali gus memperlihatkan kedudukan istimewa dan amanah besar yang dipikul oleh UiTM dalam landskap pendidikan tinggi negara.

“PAUİTM berpandangan penegasan baginda agar UiTM terus dipertahankan daripada sebarang usaha yang menggugat atau memesongkan tujuan asal penubuhannya adalah satu pendirian yang amat jelas dan wajar dihormati semua pihak,” menurut hantaran yang dibuat di Facebook rasmi persekutuan itu hari ini.

PAUİTM turut menjunjung kasih atas titah Tengku Permaisuri Selangor sempena Istiadat Konvokesyen UiTM kali ini yang sarat dengan amanat, nilai serta peringatan penting kepada seluruh warga universiti dan alumni.

PAUiTM berpandangan titah baginda bukan sahaja menyentuh soal kecemerlangan akademik, malah mengangkat peranan UiTM sebagai institusi yang lahir daripada amanah besar negara untuk
memperkasa pendidikan anak bangsa, khususnya orang Melayu, Orang Asli serta anak negeri Sabah dan Sarawak selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan Akta 173.

“Pada masa sama, titah baginda turut membawa mesej yang seimbang dan matang apabila menekankan kepentingan memelihara keharmonian masyarakat majmuk, menghormati kepelbagaian budaya serta memastikan kepentingan sah semua kaum terus dipelihara menurut lunas Perlembagaan.

“Meskipun UiTM pada dasarnya mendukung mandat agenda keistimewaan Bumiputera, hakikatnya UiTM melahirkan bakat tenaga profesional untuk manfaat negara, merentas pelbagai bidang, untuk semua sektor pekerjaan dan sememangnya terbukti melahirkan graduan yang berkualiti,” menurut hantaran itu.

Selain itu, PAUİTM turut menyambut baik penekanan baginda terhadap kepentingan ilmu, daya saing serta kesiapsiagaan generasi muda dalam mendepani cabaran geopolitik, perubahan ekonomi global dan kemajuan teknologi yang semakin pesat.

“Graduan hari ini bukan sekadar perlu memiliki kemahiran tetapi juga kebijaksanaan, akhlak dan keupayaan memimpin masyarakat dengan nilai kemanusiaan.

“Sehubungan dengan itu, PAUiTM akan terus komited untuk bersama universiti memperkukuh jaringan alumni melalui penyatuan persatuan-persatuan alumni di peringkat kampus, fakulti dan kelab, menyumbang kepakaran serta mempertahankan legasi UiTM sebagai benteng ilmu dan pemangkin pembangunan negara yang telah wujud selama tujuh dekad,” menurut hantaran itu.

— BERNAMA

Hana Shuhardi
/ Published posts: 2

“Kita tidak boleh pernah berhenti untuk berbicara kebenaran” – Mohammad Hatta.