231 views 4 mins 0 comments

‘Messy Play’, Dunia Awal Bagi Generasi Alpha

In Gaya Hidup, Keluarga, Komuniti, Rencana
May 09, 2026
Antara aktiviti sensory play yang disediakan

SHAH ALAM – Generasi Alpha yang membesar dalam dunia digital kini semakin terbiasa dengan skrin berbanding pengalaman sentuhan sebenar. Namun, di sebuah ruang yang dipenuhi warna dan pelbagai tekstur, tangan-tangan kecil ini mula menyentuh, meramas dan meneroka tanpa rasa ragu. 

Bagi kanak-kanak, ia sekadar permainan yang menyeronokkan. Tetapi bagi para ibu bapa, di sinilah bermulanya asas penting dalam perkembangan awal si kecil.

Bagi Nurul Amira binti Mohammad, 36, atau lebih mesra dikenali sebagai Mya, detik seperti inilah menjadi inspirasi untuk menubuhkan Trio Hustle Kidsplay bersama suami. Sebuah platform yang memberi ruang kepada kanak-kanak untuk meneroka dunia deria melalui aktiviti messy play. 

Pengasas Trio Hustle Kidsplay, Mya, ditemu bual oleh Shah Alam Times ketika Program Messy Play di Masjid Seksyen 7

“Sekarang kita nampak anak-anak banyak bergantung pada gajet. Bila kita buat sedikit kajian, kita sedar mereka semakin kurang bermain secara sensori. Dari situ datang idea untuk mewujudkan platform ini,” katanya kepada Shah Alam Times. 

Dalam setiap sesi, kanak-kanak akan didedahkan kepada pelbagai jenis bahan masakan seperti spageti rebus, biji selasih dan beras. 

Semua bahan dipilih dengan teliti, memandangkan majoriti peserta terdiri daripada bayi dan kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah yang masih berada dalam fasa meneroka melalui deria sentuhan dan rasa.

“Ada yang mula-mula nampak kekok, tak nak pegang. Tapi bila diberi masa, mereka mula berani. Dari situ ibu bapa boleh nampak anak belajar genggam, pegang dan kenal tekstur,” jelasnya.

Menurut Mya, aktiviti ini bukan sahaja merangsang deria sentuhan, malah turut mempengaruhi hubungan anak dengan makanan.

“Bila mereka dah biasa pegang dan main dengan makanan, rasa geli itu berkurang. Itu yang membantu mereka lebih terbuka untuk makan,” tambahnya.

Ariff bersama isteri dan anaknya berkongsi pengalaman menyertai sesi messy play

Perubahan ini turut dirasai oleh pasangan Ariff Khamzah, 34, dan isterinya Fatin, selepas beberapa kali membawa anak mereka menyertai sesi tersebut.

“Ini kali ketiga kami menyertai. Anak jadi lebih yakin, terutamanya bila bermain dengan bahan lembik seperti slime,” kata Ariff.

Bagi Fatin pula, perubahan paling ketara berlaku di rumah selepas menyertai sesi messy play.

“Selera makan dia makin bertambah. Dulu dia geli nak pegang makanan, sekarang dia nak makan sendiri dan tak nak disuap. Itu bagi kami satu perkembangan yang sangat baik,” ujarnya.

Menurut mereka, pendekatan tanpa gajet dan pendedahan kepada permainan fizikal banyak membantu perkembangan anak mereka secara keseluruhan.

Shah Alam Times turut mendapatkan maklum balas daripada ibu bapa yang hadir

Manakala bagi Nadiah Salihah, 37, yang juga telah beberapa kali menyertai aktiviti ini, manfaatnya bukan sahaja dirasai oleh anak, malah memudahkan ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

“Ini kali ketiga saya membawa anak. Saya nampak dia makin pandai bersosial dan lebih selesa bila jumpa kawan-kawan,” katanya.

Ujarnya lagi, walaupun aktiviti seperti ini boleh dilakukan di rumah, ia memerlukan persediaan yang besar terutama dari segi kos perbelanjaan dan kelengkapan.

Messy play memerlukan banyak persediaan. Jadi bila ada sesi macam ini dengan bayaran RM20, ia sangat membantu ibu bapa,” jelasnya.

Kanak-kanak dilihat teruja bermain ketika sesi messy play dijalankan

Dalam dunia yang semakin moden, Mya percaya ramai ibu bapa terlupa bahawa perkembangan anak bermula daripada perkara paling asas iaitu dengan menyentuh, merasa dan mencuba.Melalui messy play, beliau berharap lebih ramai ibu bapa memahami bahawa ‘bermain kotor’ bukan sekadar aktiviti biasa, tetapi satu proses penting dalam membina keyakinan dan keberanian anak.

Nisa Yusri
/ Published posts: 2

Naratif Ini Sentiasa Asli