133 views 3 mins 0 comments

Ottigo FC Angkat Bola Sepak Sosial Sebagai Platform Komuniti Lebih Profesional

In Sukan
May 21, 2026
Kapten Ottigo Football Club, Muhammad Irman (belakang, tengah) bersama pemain sempena pelancaran jersi rasmi pasukan di Cafe Seberang Terminal, Shah Alam. - SAT

SHAH ALAM – Kelab bola sepak sosial, Ottigo Football Club (FC) tampil dengan pendekatan lebih profesional dalam usaha membina komuniti bola sepak setempat apabila melancarkan jersi rasmi pasukan dalam satu majlis di Cafe Seberang Terminal, Seksyen 17, pada Ahad.

Walaupun hanya berstatus kelab amatur dan sosial, Ottigo FC yang ditubuhkan pada tahun 2023 mahu membuktikan bahawa kelab komuniti juga mampu mempunyai identiti serta hala tuju tersendiri seperti pasukan bola sepak profesional.

Presiden Ottigo FC, Ahmad Nadhir Mohd Nordib, berkata pelancaran jersi tersebut bukan sekadar memperkenalkan identiti baharu pasukan, sebaliknya menjadi simbol kesungguhan kelab itu dalam membina komuniti bola sepak sekitar Shah Alam.

Presiden Ottigo Football Club, Ahmad Nadhir ketika ditemu bual sempena majlis pelancaran jersi rasmi pasukan di Cafe Seberang Terminal, Shah Alam. – SAT

“Kelab kami ini sebenarnya bermula dalam kalangan kawan-kawan sahaja sebelum didaftarkan secara rasmi di bawah Suruhanjaya Sukan Malaysia pada April lalu.

“Kami memang sebuah kelab kecil dan sosial, tetapi kami ada impian besar untuk menjadi seperti kelab di liga atasan suatu hari nanti,” katanya ketika ditemu bual selepas majlis pelancaran jersi Ottigo FC.

Jersi rasmi Ottigo Football Club dilancarkan sebagai simbol identiti baharu kelab komuniti tersebut. – SAT

Menurut beliau, Ottigo FC kini mempunyai 25 pemain bersama dua jurulatih serta merancang memperkukuh pembangunan akar umbi melalui akademi dan football clinic untuk pemain bawah 15 tahun.

Katanya, kelab itu turut membuka sesi open training kepada orang awam bagi menggalakkan penyertaan komuniti dalam bola sepak.

“Kami mahu aktifkan komuniti terutama sekitar Shah Alam. 

“Ada pemain yang mahu berlatih tetapi tidak mempunyai pasukan, jadi mereka boleh datang sertai sesi latihan bersama kami,” katanya kepada Shah Alam Times.

Tambah beliau, Ottigo FC juga merancang untuk menyertai gabungan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bagi membuka peluang bersaing dalam liga lebih kompetitif pada masa hadapan.

Kelab itu turut merancang pelbagai aktiviti komuniti seperti football clinic, aktiviti kebajikan dan pertandingan 1 lawan 1 di padang sekitar Shah Alam serta kerjasama dengan sekolah sekitar Shah Alam.

Dalam pada itu, beliau berkata perkembangan bola sepak sosial di Malaysia semakin meningkat dengan pertambahan padang dan liga komuniti di Lembah Klang.

Sementara itu, kapten Ottigo FC, Muhammad Irman Sukur, berkata pelancaran ini memberi keyakinan kepada para pemain untuk terus membawa nama kelab itu ke tahap lebih tinggi.

Menurutnya, Ottigo bukan sekadar tempat bermain bola sepak, malah menjadi platform membina hubungan persahabatan dan komuniti dalam kalangan pemain.

“Pemain dalam Ottigo sangat rapat seperti keluarga dan kami juga aktif dengan pelbagai aktiviti luar selain bola sepak.

“Saya harap Ottigo dapat pergi lebih jauh macam join ECL dan bersaing dalam liga yang lebih besar selepas ini,” katanya kepada Shah Alam Times.

Persembahan freestyle football turut memeriahkan majlis pelancaran jersi Ottigo Football Club. – SAT

Majlis pelancaran jersi Ottigo turut diserikan dengan tayangan video khas, perkongsian hala tuju kelab serta persembahan freestyle football.

Alyaa Mohamed
/ Published posts: 3

write the truths the world tries to bury