SHAH ALAM – Program Intercampus Radio Workshop: Build Your Confidence On Air anjuran Kelab Broadcaster of Shah Alam (B.O.S) berjaya memberi pendedahan kepada pelajar mengenai dunia penyiaran radio serta kepentingan keyakinan diri dalam bidang komunikasi.
Program yang berlangsung di Studio TV, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), UiTM Shah Alam itu menampilkan hos terkenal dari Media Prima Berhad, Mohamad Hanif Miswan sebagai penceramah jemputan.
Menurut Penolong Ketua Projek, Muhammad Danish Haron, bengkel tersebut bukan sahaja tertumpu kepada bidang radio, malah bertujuan membantu pelajar meningkatkan kemahiran pengucapan awam dan komunikasi di hadapan khalayak.
“Tujuan kita mengadakan program ini adalah untuk melahirkan pelajar yang berminat dalam bidang radio dan pengucapan awam,” katanya kepada Shah Alam Times.
Muhammad Danish menjelaskan objektif utama program tersebut adalah untuk membantu pelajar menyusun idea dan menyampaikan mesej dengan lebih berkesan melalui bimbingan daripada pemain industri yang berpengalaman.
Tambahnya, keyakinan diri merupakan elemen penting dalam bidang penyiaran kerana individu yang berhadapan dengan kamera perlu mampu menyampaikan maklumat dengan yakin dan profesional.
“Dalam bidang penyiaran, keyakinan adalah kunci utama. Tanpa keyakinan, seseorang akan kelihatan kekok dan sukar untuk berkomunikasi dengan baik di hadapan audiens,” ujarnya.

Hanif Miswan mempunyai pengalaman luas dalam industri media, termasuk sebagai pengacara, pengulas sukan dan penyampai radio.
Sepanjang bengkel berlangsung, peserta diberi peluang untuk menonjolkan bakat masing-masing melalui latihan praktikal dan menerima maklum balas secara langsung daripada penceramah.
Program tersebut dilihat berjaya menjadi platform bagi pelajar untuk mempelajari teknik komunikasi yang berkesan, membina keyakinan diri dan mendapatkan pendedahan awal terhadap dunia penyiaran daripada pengamal industri.
