49 views 4 mins 0 comments

LRT3: “Saya Boleh Jimat Duit Petrol Setiap Minggu” – Mahasiswa UiTM Shah Alam

In Ekonomi
June 29, 2026
LRT3 mampu menjadi alternatif pengangkutan yang lebih menjimatkan bagi pelajar UiTM (Gambar kecil dari kiri: Nurina Amani dan Ameera Nursyafiqah)

SHAH ALAM – Pembukaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Bandar Utama dan Johan Setia akan memberi manfaat kepada jutaan penumpang, terutamanya dalam kalangan mahasiswa UiTM Shah Alam.

Projek pengangkutan awam ini  berpotensi menjadi alternatif yang lebih menjimatkan bagi pelajar yang terpaksa menyewa rumah berhampiran kampus atau ulang-alik dari kawasan sekitar seperti Subang Jaya dan Klang. 

Dengan kewujudan stesen seperti UiTM Shah Alam dan Seksyen 7 Shah Alam, pelajar berharap akses yang lebih mudah ke kampus dapat membantu mengurangkan bebanan kewangan yang semakin dirasai akibat peningkatan kos sara hidup.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Komunikasi Antarapersonal, Nurina Amani Farid Reza, 22, dia kini menyewa di sekitar Shah Alam dengan kadar sewa RM278 sebulan, tidak termasuk bil utiliti seperti elektrik dan air.

Katanya, kadar sewa tersebut agak tinggi memandangkan rumah yang didiami tidak menyediakan kemudahan tambahan seperti pendingin hawa atau penapis air.

“Saya memilih untuk menyewa kerana lebih mudah untuk menghadiri kelas dan menjimatkan masa perjalanan,” katanya kepada Shah Alam Times.

Kemudahan bas kampus dan pengangkutan awam sedia ada di sekitar kawasan kediaman Nurina Amani turut membantu mengurangkan kos perjalanan harian sepanjang tempoh pengajiannya.

Mengulas mengenai LRT3, Nurina Amani berpandangan bahawa sistem pengangkutan itu mampu memberi lebih banyak pilihan kepada pelajar yang berulang-alik dari rumah masing-masing tanpa perlu menyewa berhampiran kampus.

“LRT3 ini akan banyak membantu pelajar terutamanya yang menyewa di luar kampus. Mereka mungkin lebih selesa untuk berulang-alik dan tidak perlu menanggung kos sewa setiap bulan,” ujarnya.

Nurina Amani turut mengakui akan mempertimbangkan untuk tinggal bersama keluarga dan menggunakan LRT3 sekiranya masih mempunyai tempoh pengajian yang panjang.

Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Pengurusan Komunikasi dan Polisi, Ameera Nursyafiqah Mohd Aini, 23 yang berulang-alik dari Subang Jaya ke UiTM Shah Alam sejak semester dua membelanjakan kira-kira RM50 seminggu untuk minyak petrol.

Selain kos bahan api, cabaran utama yang dihadapi Ameera Nursyafiqah ialah kesukaran mendapatkan tempat letak kereta di kampus terutamanya pada waktu puncak.

“Kalau waktu kelas pukul 8 pagi, saya perlu keluar rumah seawal 6:30 pagi hanya untuk mendapatkan tempat letak kereta tanpa perlu berebut,” jelasnya.

Ameera Nursyafiqah teruja dengan pembukaan LRT3 dan berhasrat untuk menggunakannya kerana lokasi stesen yang berhampiran dengan kawasan kediamannya.

“Saya anggarkan kos perjalanan pergi dan balik hanya sekitar RM5 sehari, jauh lebih rendah berbanding kos petrol yang saya belanjakan sekarang” ujarnya.

Ameera Nursyafiqah menganggarkan penggunaan LRT3 mampu mengurangkan lebih separuh daripada perbelanjaan pengangkutan mingguannya, sekali gus membantu pelajar menjimatkan wang untuk keperluan lain.

Selain itu, dia juga menyifatkan LRT3 sebagai kemudahan penting kepada pelajar kerana laluan tersebut mempunyai sambungan ke beberapa stesen transit utama yang membolehkan pengguna mengakses rangkaian KTM, MRT dan ERL dengan lebih mudah.

“Ia bukan sahaja memudahkan perjalanan saya ke kampus, tetapi juga membuka akses kepada pelbagai destinasi lain melalui pengangkutan awam.

Saya harap dapat menggunakan kemudahan ini minggu ini kerana manfaatnya bukan hanya kepada pelajar, malah kepada seluruh warga Shah Alam” ulasnya.

Pembukaan LRT3 dilihat bukan sahaja mampu meningkatkan mobiliti pelajar, malah berpotensi menjadi langkah ke arah pengurangan kos pengangkutan dan kesesakan lalu lintas sekali gus menyokong kehidupan kampus yang lebih mampan dan mesra pengguna.

Edrinna Junaidi
/ Published posts: 3

Sentiasa ada cerita