54 views 2 mins 0 comments

UiTM akan teliti cadangan penambahbaikan elaun SKP

In Berita, Kampus, Laporan Khas
July 27, 2026
Gambar hiasan: UiTM komited mengkaji semula kadar bayaran skim SKP bagi memastikan pelaksanaan skim tersebut terus memberi manfaat kepada mahasiswa secara adil dan mampan.

SHAH ALAM: UiTM akan meneliti cadangan penambahbaikan kadar elaun Skim Khidmat Pelajar (SKP) susulan pandangan yang dikemukakan oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan pelbagai pihak berhubung kebajikan mahasiswa.

Dalam satu kenyataan media, UiTM memaklumkan perbincangan lanjut akan diadakan melibatkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Pejabat Bendahari dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM bagi meneliti cadangan yang dikemukakan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Memetik kenyataan yang disiarkan pada Sabtu, penelitian tersebut akan mengambil kira keperluan semasa mahasiswa, kemampuan kewangan universiti serta kelestarian pelaksanaan skim berkenaan.

“Sebarang keputusan yang dibuat perlu bersifat adil, mampan dan memberi manfaat kepada mahasiswa,” menurut kenyataan itu.

Isu kadar elaun SKP menjadi perhatian selepas beberapa wakil mahasiswa universiti awam menyuarakan kebimbangan mengenai kadar bayaran yang disifatkan tidak lagi selari dengan peningkatan kos sara hidup semasa.

Jelas kenyataan itu lagi, SKP yang diwujudkan lebih dua dekad lalu merupakan satu inisiatif kebajikan universiti yang bertujuan membantu mahasiswa memperoleh pendapatan tambahan melalui tugasan sambilan di dalam kampus.

Menurutnya, skim berkenaan telah memberi manfaat kepada ribuan pelajar di seluruh sistem UiTM selain menyediakan peluang kepada mahasiswa memperoleh pengalaman kerja tanpa menjejaskan komitmen akademik mereka.

UiTM turut menegaskan bahawa SKP bukan skim pekerjaan yang ditawarkan berdasarkan kadar pasaran buruh, sebaliknya merupakan bantuan kebajikan yang memberi peluang kepada pelajar memperoleh wang saku tambahan secara sukarela sambil membangunkan kemahiran insaniah dan pengalaman kerja.

“SKP menawarkan waktu bekerja yang fleksibel, tugasan yang disusun mengikut jadual akademik serta persekitaran kerja yang kondusif di dalam kampus,” tambah kenyataan itu.

Mengulas perbandingan yang dibuat antara SKP dan program MySISWA@Job on Campus (MySISWA@JoC), UiTM berpandangan kedua-dua inisiatif tersebut mempunyai objektif, model pembiayaan dan mekanisme pelaksanaan yang berbeza.

“Pihak universiti berpendapat sebarang perbandingan perlu dibuat secara menyeluruh berdasarkan matlamat asal setiap program dan bukan hanya tertumpu kepada kadar bayaran semata-mata,” kata kenyataan itu lagi.

Polemik bayaran SKP kembali mendapat perhatian banyak pihak, khususnya dalam kalangan mahasiswa, berikutan pengenalan program MySISWA@Job on Campus (MySISWA@JoC) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Jun lalu yang menawarkan kadar bayaran lebih kompetitif iaitu sebanyak RM6 sejam.

Untuk rekod, skim tersebut tidak pernah disemak sejak 20 tahun lalu dan ditawarkan di semua kampus UiTM seluruh negara.

Aina Nasruddin
/ Published posts: 8

Di antara kata, ada makna