174 views 2 mins 0 comments

Kisah kasih-sayang ayah sentuh hati pengguna media sosial

In Kampus
October 29, 2026
Najwa bergambar bersama bapanya di hadapan Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) selepas Istiadat Konvokesyen UiTM ke-105, baru-baru ini. - Sumber: Akaun Threads milik Najwa

SHAH ALAM – Kisah kasih sayang seorang ayah membawa sejambak bunga hidup dengan menaiki motosikal dari Pasar Seni ke Shah Alam demi menggembirakan anak perempuannya pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-105 baru-baru ini menyentuh hati ramai pengguna media sosial.

Dalam hantaran yang dibuat di aplikasi Threads itu, graduan Fakulti Sains Gunaan, Najwa Roslee, 24, berkongsi kisah menyentuh hati apabila bapanya memohon maaf selepas jambak bunga hidup yang dibawa sebagai hadiah rosak ketika dalam perjalanan. 

Menurutnya, dia tersentuh hati memikirkan usaha bapanya memilih dan membawa bunga itu dengan menaiki motosikal seorang diri, lebih-lebih lagi perjalanan dari Pasar Seni ke Shah Alam bukanlah dekat.

“Walaupun ayah minta maaf sebab bunga itu rosak sedikit, kehadiran ayah untuk meraikan saya itu lebih bermakna,” kata Najwa.

Menurutnya, usaha bapanya menyediakan bunga sebagai hadiah konvokesyen bukan sekadar pemberian biasa, sebaliknya lambang kasih sayang dan pengorbanan yang sukar dinilai dengan wang ringgit.

Najwa turut mengatakan pemberian itu merupakan cara bapanya memujuk hatinya memandangkan ibu dan adik-beradik yang lain tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu.

Perkongsian anak kedua daripada empat adik-beradik itu mendapat 18,200 tanda suka dan dikongsi 226 kali.

Sementara itu, sebahagian besar netizen memberikan reaksi positif terhadap tindakan bapa pelajar berkenaan. 

Pengguna Threads @cajayaaaa, menyifatkan bapa Najwa sebagai seorang yang merendah diri kerana lelaki tersebut tidak segan meminta maaf kepada anaknya.   

“Ayah awak memang tak macam ayah lain sebab ada rasa nak minta maaf pada anak dia,” tulisnya.

Terdapat juga netizen meluahkan rasa syukur kerana Najwa masih mempunyai seorang bapa dan mengingatkannya agar menghargai bapanya.

“Seronoknya masih ada ayah lagi. Kita dah tiada ayah, agungkan ayah awak, adik,” kata @farahhoneym.

Manakala, pengguna Threads, @lobesya, meluahkan rasa kagum terhadap tindakan bapa pelajar berkenaan yang disifatkan sangat menyentuh perasaannya.

“Effort ayah awak tu, sebak tengok,” tulisnya.

Untuk rekod, seramai 32,630 graduan UiTM menerima diploma dan ijazah pada istiadat konvokesyen tersebut  yang berlangsung dari 17 Oktober hingga 16 Disember ini.

Sidang pertama disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar yang merupakan Canselor UiTM.

Farah Qistina
/ Published posts: 1

A curious mind, a journalist in the making