101 views 2 mins 0 comments

Kejohanan e-Football Peringkat Komuniti Lahir Bakat Baharu E-Sukan 

In Sukan
November 06, 2026
Ahmad Muhaimin ketika sedang ditemu bual oleh Shah Alam Times

SHAH ALAM – 18 Okt, Penganjuran kejohanan e-football di peringkat komuniti dilihat mampu menjadi platform terbaik dalam mencungkil bakat baharu khususnya dalam kalangan remaja untuk mewakili Malaysia di pentas antarabangsa suatu hari nanti. 

Atlet e-football kebangsaan, Ahmad Muhaimin Abdul Razak berkata, acara seumpama itu memberi pendedahan kepada golongan tersebut mendapatkan pengalaman berharga selain berentap bersama pemain yang lebih berpengalaman. 

“Kalau mereka dapat jumpa pemain-pemain yang dah sampai tahap antarabangsa, itu satu pengalaman yang berharga untuk mereka. Dalam masa yang sama, mereka boleh perbaiki lagi cara bermain untuk masa akan datang,” katanya kepada Shah Alam Times. 

Shah alam parlimen e-sports championship platform mencungkil bakat baharu dalam arena e-Sukan negara 

Menurutnya, pengalaman yang diperoleh melalui kejohanan sebegini mampu membantu pemain muda meningkatkan tahap permainan selain menjadi persediaan untuk mereka meneruskan kerjaya dalam bidang e-sukan. 

Ahmad Muhaimin berkata, sambutan terhadap kejohanan e-Football Mobile juga menunjukkan perkembangan positif apabila semakin ramai mendapat sokongan daripada  komuniti e-Football di Malaysia. 

Katanya lagi, pemain muda yang berminat untuk menceburi bidang e-sukan perlu kerap  menyertai kejohanan walaupun berskala kecil serta meneruskan latihan secara konsisten. 

“Teruskan berlatih, teruskan semangat kalau ada cita-cita nak jadi pemain profesional e-sukan. Dalam masa yang sama, seimbangkan dengan pelajaran juga,” ujarnya. 

Beliau berkata, latihan yang dilakukan pemain juga perlu berasaskan ilmu dan penambahbaikan supaya setiap sesi latihan dapat membantu meningkatkan kemahiran permainan mereka. 

Sementara itu, beliau menyifatkan penganjuran kejohanan e-Football sempena Hari Bola Sepak Selangor baru-baru ini sebagai satu usaha yang baik dalam menarik minat komuniti e-sukan. 

Beliau berkata, penglibatan Selangor dalam permainan e-Football turut menjadi salah satu faktor yang mampu menarik lebih ramai peminat untuk menyertai atau menyaksikan kejohanan. 

Ahmad Muhaimin bagaimanapun mencadangkan penganjur mempertimbangkan pemberian hadiah yang lebih besar pada masa akan datang, sekali gus menarik lebih banyak bakat baharu mengambil bahagian dalam sukan itu.

Ungku Nadiah
/ Published posts: 1

Every story deserves to be heard.