Penganjur Liga Penalti Rakyat (LPR), memperkenalkan format baharu kotak 4 kaki dalam pertandingan futsal tertutup anjurannya bagi meningkatkan keseimbangan saingan dan kualiti pertandingan.
Pengerusi LPR, Sulaiman Ngadimin berkata pengenalan zon sepakan khas berbentuk kotak merah itu mewajibkan setiap pemain melakukan tendangan gaya bebas hanya di dalam kawasan 4 kaki x 4 kaki.
“Peraturan baharu ini digubal khusus bagi mengawal jarak larian penendang supaya rembatan yang dilepaskan tidak membahayakan keselamatan fizikal penjaga gol yang beraksi di gelanggang tertutup.
“Ini memberikan keadilan (fairness) serta keselesaan kepada penjaga gol yang perlu berdepan sehingga 30 ke 40 sepakan penalti dalam satu-satu perlawanan.
“Bagi memastikan tempo permainan kekal pantas dan berdisiplin, pemain juga hanya diberikan tempoh lima saat untuk melakukan tendangan sebaik sahaja wisel pengadil ditiupkan,” jelasnya.
LPR yang diasaskan oleh Sulaiman sejak tahun 2017 di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur telah berkembang pesat merangkumi pelbagai kategori termasuk Liga Penalti Bola Padang dan Sharpshooter yang melibatkan golongan remaja serta veteran.
Format baharu kotak 4 kaki mula dilaksanakan pada edisi Ke-7 LPR yang diadakan di sebuah gelanggang futsal tertutup di Batu 3 di sini, baru baru ini yang menghimpunkan 56 pasukan dari seluruh negara.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata peraturan baharu ini digubal sendiri oleh beliau bagi menggantikan format no step terdahulu dengan membenarkan pemain mengambil sedikit langkah di dalam kotak sebelum melepaskan rembatan.
Selain itu, LPR turut memperkenalkan sistem repechage yang membolehkan pasukan tewas di peringkat kumpulan atau pusingan kedua mendaftar semula dengan bayaran tambahan RM50 untuk merebut laluan kembali ke saingan utama.
“Kadang-kadang pasukan yang masuk melalui repechage inilah yang akhirnya muncul juara kerana laluan mereka sama apabila kembali bersaing di dalam carta pertandingan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, setiap pasukan diberikan fleksibiliti untuk mendaftarkan minimum seorang pemain solo sehingga maksimum lima orang pemain, manakala kemenangan mutlak ditentukan menerusi lima sepakan awal diikuti penentuan sudden death maksimum tiga sepakan sekiranya terikat.
Sementara itu dalam perkembangan sama, LPR bakal menganjurkan pertandingan Liga Penalti Futsal serta Sharpshooter di ibu negara pada 29 November ini.
