SHAH ALAM – Siapa sangka dengan hanya mempunyai minat mendalam terhadap dunia kecantikan dan tabiat meluangkan masa di media sosial kini mampu menjadi sumber pendapatan yang lumayan, khususnya buat mahasiswa.
Program ‘Light+ Takes Over Campus’ tampil membawa kelainan di UiTM Shah Alam dengan menggabungkan rahsia penjagaan diri dan strategi membina kerjaya digital.
Pendekatan yang dibawa adalah menepis stigma bahawa dunia kecantikan dan penciptaan kandungan hanyalah sekadar hobi masa lapang, sebaliknya mengangkat kedua-dua elemen tersebut sebagai kemahiran penting yang wajar dikuasai oleh generasi muda.
Program yang dianjurkan oleh mahasiswa Program Periklanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media di bawah subjek Digital Simulation Advertising ini diberi kepercayaan besar kepada oleh pihak Light+ by Wardah untuk mengendalikan kempen digital, selain menganjurkan acara fizikal demi melihat hasil keberkesanan strategi yang dirancang.
Ketua Program, Faiz Aqil Yaakob, 22, berkata proses kolaborasi bersama pihak industri sepanjang menjayakakan acara ini berjalan dengan lancar dan dipermudahkan.
Dia bersyukur kerana pihak Light+ memberikan bimbingan dan kepercayaan penuh kepada jawatankuasa pelajar untuk menguruskan keseluruhan kelancaran kempen.

Selain berfokus kepada pengalaman industri, aspek pemerkasaan ekonomi mahasiswa turut ditekankan menerusi sesi ceramah penjenamaan digital dan demonstrasi penjagaan kulit secara praktikal.
“Pihak penganjur meletakkan harapan yang tinggi agar pengisian ini memberi impak yang realistik kepada kehidupan seharian para pelajar di kampus.
“Dari program ini, saya berharap pelajar dapatlah belajar sedikit sebanyak sedikit sebanyak tentang skincare dan belajar juga tentang affiliation; macam mana hendak usahakan duit poket sendiri sambil belajar dan dalam masa yang sama boleh jaga penampilan sekali,” kata Faiz Aqil kepada Shah Alam Times.

Bagi peserta program, Bibi Alya, 22, pengisian yang menggabungkan aspek penampilan diri dan peluang menjana keuntungan ini disifatkan sebagai satu pakej yang sangat lengkap serta memberikan inspirasi kepada dirinya untuk mula menceburi bidang penciptaan kandungan.
“Sebelum ini saya selalu berfikir panjang apabila hendak memuat naik video sebab takut orang menilai, tetapi selepas mendengar sesi perkongsian tadi, saya rasa lebih yakin untuk bermula.
“Tak semestinya kena sempurna, namun apa yang penting kita konsisten,” ujarnya.
Suasana di sekitar acara turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti di reruai yang interaktif serta edaran barangan kosmetik.

Secara keseluruhannya, ‘Light+ Takes Over Campus’ bukan sekadar sebuah program singgah lawat, tetapi berjaya menjadi medan pelancaran yang berkesan buat mahasiswa UiTM mengorak langkah pertama mereka ke dalam industri kreatif dan perniagaan digital.

