612 views 2 mins 0 comments

Aniq Sasar Bawa Pulang Pingat

In Sukan
October 27, 2024
“Tekanan tu memang ada, cuma tengok cara kita menerima tekanan tu dan cara kita menguruskan tekanan tu lah dan Alhamdulillah saya terima tekanan tu sebagai cabaran”

Seorang pelajar dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam, Mohammad Aniq Kasdan telah mengesahkan slot sebagai atlet keenam secara automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas kelayakan terakhir di Phuket, Thailand pada April lalu.

“Saya gembira sebab setelah lima kejohanan qualified, Alhamdulillah saya akan ke sukan olimpik lah.” kata Aniq Kasdan.

Jaguh angkat berat itu berkata bahawa beliau sangat gembira apabila terpilih setelah lima kejohanan kelayakan untuk ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 telah berakhir dan menetapkan sasaran untuk membawa pulang pingat bagi Malaysia.

Mengimbas kembali perjalanan persediaannya, Aniq menyatakan rasa bangganya kerana menjadi satu-satunya wakil dari UiTM Shah Alam yang terpilih untuk ke Temasya Olimpik 2024.

“Rasa macam satu dalam seribu saya seorang saja yang dapat pergi,” katanya menerusi satu sesi temubual melalui panggilan Google Meet.

Jelasnya, buat masa ini Aniq sedang menjalani latihan intensif dibawah pemantauan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mencapai prestasi yang lebih tinggi ketika Olimpik berlangsung nanti.

Dalam masa yang sama, Aniq Kasdan juga berkongsi bagaimana beliau turut menghadapi beberapa kesukaran dan tekanan dari segi fizikal dan mental dalam tempoh persediaannya untuk ke Olimpik.

Walaubagaimanapun, beliau menerima tekanan yang dihadapi sebagai satu cabaran dan menganggap cabaran tersebut sebagai satu norma yang perlu diatasi oleh seorang atlet ketika menjalani sesi latihan.

“Tekanan tu memang ada, cuma tengok cara kita menerima tekanan tu dan cara kita menguruskan tekanan tu lah dan Alhamdulillah saya terima tekanan tu sebagai cabaran” ulasnya.

Atlet angkat berat kategori 61 KG itu mula menjinakkan diri dalam bidang sukan angkat berat sejak tahun 2017 lagi kerana ingin mengikuti jejak langkah abang beliau yang juga merupakan atlet angkat berat.

Tambahan lagi, pada mulanya Aniq menceburi sukan angkat berat kerana melihat sukan ini menarik dan berminat untuk mencubanya sehingga akhirnya kini sukan angkat berat ini telah menjadi satu pekerjaan bagi Aniq.

Untuk rekod Aniq Kasdan sebelumnya telah memenangi beberapa pingat dalam kejohanan yang disertai antaranya ialah pingat emas di Sukan Komanwel 2022 dan pingat perak dalam acara 55KG lelaki clean & jerk di Kejohanan Angkat Berat Dunia 2021.

Sementara itu Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 akan berlangsung di Paris, Perancis pada 26 Julai sehingga 11 Ogos 2024 nanti.