661 views 51 secs 0 comments

Belanja RM500 Sebulan Sedia Makanan Kucing Jalanan

In Berita, Komuniti
December 30, 2024
Rishma Devi, 29, berkata perkara tersebut dilakukan kerana kasihan memikirkan kebajikan haiwan terbiar yang sering menjadi mangsa pemilik yang tidak bertanggungjawab.

SHAH ALAM: Prihatin dengan nasib kucing jalanan, seorang operator pengeluaran warga Indonesia sanggup membelanjakan kira-kira RM500 setiap bulan untuk menyediakan makanan kepada haiwan tersebut yang ditemuinya di sekitar bandaraya ini.

Rishma Devi, 29, berkata perkara tersebut dilakukan kerana kasihan memikirkan kebajikan haiwan terbiar yang sering menjadi mangsa pemilik yang tidak bertanggungjawab.

“Setiap bulan saya akan memperuntukkan beberapa ratus ringgit untuk membeli makanan kucing dalam kuantiti yang besar.

“Bagi saya, tiada istilah membazir apabila memberi kucing makan, malah rezeki lebih bertambah dalam bentuk yang lain walaupun bukan wang ringgit,” katanya.

Jelasnya, selepas waktu kerja dia akan meninjau sekitar kawasan Shah Alam sambil mencari lokasi untuk memberi makan kucing sebelum pulang ke rumah.

“Saya sentiasa membekalkan makanan kucing di dalam bag tangan supaya apabila terjumpa kucing di mana-mana saya boleh memberi mereka makan.

“Walaupun mempunyai rasa takut ‘dicederakan’ oleh haiwan tersebut, rasa itu semakin pudar apabila memikirkan nasib haiwan itu yang kelaparan,” katanya yang telah menetap di Shah Alam sejak dua tahun lalu.

Usaha murni wanita itu turut menarik perhatian warga sekitar untuk melakukan perkara sama.

Menurutnya, sejak melibatkan diri dengan aktiviti tersebut beberapa kenalannya juga mula berkongsi rezeki dengan kucing di tempat tinggal mereka.  Menggelarkan dirinya sebagai ‘street feeder’, dia yang berasal dari Jawa Timur turut mengeluarkan duit poket sendiri untuk membiayai kos pemeriksaan dan rawatan kucing jalanan yang dihantar ke klinik.

Adlina Huda
/ Published posts: 3

Nukilan Yang Ditulis Memberi Inspirasi Dan Memperkasakan Pembaca Dengan Menyampaikan Naratif Yang Tepat Dan Menarik