373 views 2 mins 0 comments

Lebih 100 Peserta Sertai Coop Talk Menteri KUSKOP Bersama Siswa

In Berita, Kampus
April 23, 2025
Ewon Benedick (tengah) bersama sebahagian pelajar yang hadir usai sesi Coop Talk Menteri dan Siswa 2025.

SHAH ALAM – Lebih 100 mahasiswa daripada empat universiti awam (UA) mengambil bahagian dalam Coop Talk Menteri dan Siswa 2025 bersama Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick yang diadakan di Ruang Legar Menara Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, pada Selasa.

Dalam ucapannya, Ewon menyeru golongan mahasiswa untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti keusahawanan di peringkat universiti sebelum mencipta nama di pentas lebih besar pada masa akan datang.

“Saya ingin mengajak mahasiswa dan mahasiswi untuk meneroka potensi menjadi usahawan bukan hanya selepas bergraduan di sini tetapi semasa belajar di sini pun ada ruang dan peluang untuk menjadi usahawan

“Tetapi inilah fokus saya, saya ingin melihat lebih banyak usahawan dapat diwujudkan terutama usahawan berskala sederhana yang boleh diangkat tersenarai di bursa saham, produk perkhidmatan mereka boleh dibawa ke pasaran antarabangsa tanpa mengabaikan tanggungjawab kita kepada usahawan-usahawan yang lain,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Keusahawanan KUSKOP, Dato’ Zamri Salleh, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Rusli Jaafar dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi.

Manakala empat UA terlibat adalah UiTM, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Pada majlis tersebut Ewon turut mengumumkan pemberian kopi percuma kepada semua peserta dan tetamu yang hadir.

Mengulas lanjut, Ewon berkata KUSKOP memandang serius penyertaan golongan mahasiswa dalam bidang keusahawanan kerana ia dapat membantu kerajaan menangani isu pengangguran graduan di negara ini.

Sehubungan itu katanya, pihak kementerian telah memperkenalkan beberapa inisiatif strategik bagi meningkatkan penyertaan mahasiswa dalam bidang berasaskan koperasi dan juga di peringkat pembuat dasar.

“Pihak kementerian telah memperkenalkan dana sokongan berbentuk geran pembangunan kepada Koperasi Siswa (KoSISWA) berjumlah RM20, 000 melibatkan 27 KoSISWA di seluruh negara.

“Saya juga menekankan perlantikan KoSISWA menganggotai Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan bagi membolehkan suara mahasiswa menjadi sebahagian daripada proses pembuat dasar dan inisiatif di kementerian dan agensi koperasi,” jelasnya.

Ewon Benedick (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada usahawan mahasiswa yang mengambil bahagian pada pameran yang diadakan sempena Coop Talk di Ruang Legar Menara SAAS, UiTM di sini, pada Selasa.

Noel Entili
/ Published posts: 3

Bukan Alat Propaganda, Tapi Tangan Yang Menulis Fakta.