1199 views 2 mins 0 comments

Anak Rahim Jailani Rahsia Status Bapa, Mahu Berjaya Atas Usaha Sendiri

In Berita, Kampus
May 24, 2025
Rahim (tengah) bersama Muhammad Fadzlan (kiri) dan isteri ketika menghadiri Istiadat Konvokesyen UiTM ke-101, di sini.

SHAH ALAM – Tanpa menumpang populariti ayahnya, pelakon veteran Rahim Jailani, seorang graduan muda memilih untuk merahsiakan status sebagai ‘anak artis’ demi meraih kejayaan atas usaha sendiri.

Muhamad Fadzlan Tasyriq Abdul Rahim, 25, yang menamatkan pengajian dalam Sarjana Muda Sains Pentadbiran, berkata keputusan itu dibuat kerana dia tidak mahu meraih perhatian semata-mata berdasarkan latar belakang keluarga.

“Saya tidak pernah beritahu status saya sebagai anak artis veteran kecuali orang-orang rapat sahaja sebab saya tidak mahu dikenali atas nama ayah saya,” katanya selepas Istiadat Konvokesyen UiTM ke-101, di sini.

Katanya, layanan orang jelas berubah selepas mengetahui status sebenarnya.

Dia menjelaskan menyambung pengajian ke peringkat ijazah bukanlah perancangannya, sebaliknya dilakukan atas permintaan ibu bapa yang sentiasa menyokong perjalanan hidup dan akademiknya.

“Sejujurnya, saya sambung belajar ini untuk mereka sebab mereka banyak berkorban dalam membesarkan saya sehingga berjaya pada hari ini,” ujarnya.

Tambah Muhammad Fadzlan, sekeping ijazah belum cukup untuk membalas segala jasa dan kebaikan kedua-dua ibu bapanya.

Dia turut menyentuh tentang latar belakang keluarganya yang bukan dari kalangan berada, namun ibu bapanya tetap berusaha memastikan semua keperluan anak-anak mencukupi.

“Tiada kata yang sesuai untuk menunjukkan betapa mereka adalah insan terbaik saya di dunia dan akhirat, mereka tiada gantinya,” katanya dengan nada penuh penghargaan.

Sementara itu, Rahim Jailani, 64, yang turut hadir meraikan kejayaan anak bongsunya, meluahkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian tersebut.

“Dari awal semester sampai habis, saya dan isteri selalu pantau dan beri semangat sebab saya tidak meminta dia menjadi orang hebat pun, cukuplah kalau dia buat yang terbaik dalam hidup,” katanya.

Beliau turut mendoakan anaknya terus kuat dan berjaya dalam perjalanan hidup selepas tamat pengajian.

Bagi Rahim, kejayaan Tasyriq bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi bukti bahawa usaha dan ketekunan mampu membawa kejayaan tanpa bersandar pada nama besar.

Annisa’ Azlan
/ Published posts: 2

Setiap Cerita Punya Nadinya Tersendiri. Dengarlah Dengan Hati, Menulislah Dengan Jiwa