476 views 2 mins 0 comments

Tiada Lagi Plastik: Quezon Ubah Wajah Dewan Bandar Raya

In Berita, Global
May 28, 2025
Krisis lambakan sampah plastik di Filipina membimbangkan semua pihak.

MANILA- Kerajaan tempatan bandar raya Quezon mengambil langkah drastik melarang penggunaan plastik dan bahan pakai buang di kawasan pejabat bandaraya serta premis di bawah pentadbirannya sebagai langkah mengurangkan sisa plastik.

Datuk Bandar, Joy Belmonte, mengeluarkan larangan penggunaan beg dan pembungkus plastik daripada bahan styrofoam, bekas makan pakai buang seperti pinggan kertas, peralatan plastik, botol PET, serta cawan plastik dan kertas di semua kemudahan milik bandar raya.

“Plastik yang tidak terbiodegradasi dan plastik sekali guna mengambil masa beribu-ribu tahun untuk terurai, ia telah mencemarkan tanah dan saluran air kita dalam proses tersebut.

“Kajian turut menunjukkan bahawa mikroplastik telah masuk ke dalam makanan, air minuman, malah tanah kita, sekaligus menimbulkan risiko kesihatan kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sisa plastik juga menyumbat sistem saliran dan menyebabkan banjir teruk seperti yang dilihat semasa taufan di Filipina baru-baru ini.

“Pencemaran plastik adalah krisis yang mengancam kesihatan, ekonomi, dan kesejahteraan masyarakat.

“Plastik juga mengancam haiwan laut. Inilah sebabnya kerajaan menerajui dasar-dasar dan penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan penggunaan plastik dan memajukan kelestarian,” tambahnya lagi.

Dasar yang berkuatkuasa pada hari Isnin mewajibkan kakitangan dewan membawa beg guna semula apabila membeli makanan di luar bangunan.

“Bagi pelanggan dan pengunjung, makanan daripada penjaja boleh dihidangkan dalam bekas bungkus pakai buang, termasuk peralatan makan jika diminta. Walau bagaimanapun, barangan ini tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam bangunan,” kata kenyataan itu lagi.

Penghantaran makanan masih dibenarkan ke dalam bangunan kerajaan bandar raya, dengan syarat pejabat penerima perlu mengutip semula bekas makanan tersebut dan menukarkannya di kaunter Trash to Cashback.

Penghantaran yang menggunakan pembungkusan plastik tidak akan dibenarkan masuk ke dalam bangunan kerajaan. -The Philippine Star

https://www.philstar.com/nation/2025/04/24/2437907/quezon-city-bans-single-use-plastics-city-hall: Tiada Lagi Plastik: Quezon Ubah Wajah Dewan Bandar Raya

Nurul Izzah Mahdzir
/ Published posts: 3

Setiap Tulisan Adalah Sebuah Perjalanan. Merungkai Fakta Dalam Realiti Yang Membingungan Dan Menyampaikannya Dengan Ketelitian