494 views 2 mins 0 comments

Beri Tumpuan Krisis Alam Sekitar Tempatan

In Berita, Kampus
June 15, 2025
Peserta International Environmental Communication Workshop 2025 bergambar bersama penganjur dan penceramah selepas tamat sesi bengkel di Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu, UiTM Shah Alam, semalam.

Orang ramai terutamanya golongan mahasiswa digesa supaya memberikan lebih tumpuan kepada krisis alam sekitar tempatan berbanding permasalahan global dalam meningkatkan pemahaman mereka terhadap isu berkenaan.

Pengasas Bersama dan Editor portal atas talian, Macaranga, Wong Siew Lyn berkata, masyarakat perlu lebih sedar tentang krisis hutan tempatan agar tidak terus alpa terhadap isu yang berlaku di halaman sendiri.

“Macaranga memberi tumpuan kepada isu-isu tempatan dan saya fikir itu sangat penting, bukan sekadar melihat tajuk utama,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa krisis alam sekitar tidak boleh dilihat secara terasing, sebaliknya saling berkait dengan isu lain seperti dasar, komuniti dan pembangunan.

Mengulas mengenai tahap kesedaran golongan muda terhadap isu alam sekitar tempatan, Siew Lyn berkata apa yang paling penting ialah apabila seseorang itu sanggup bertanya dan belajar.

“Kesedaran sebenar bermula apabila seseorang itu mahu mengetahui lebih banyak dan belajar tentang isu yang terjadi di negara kita dan itu menjadi titik permulaan yang bagus,” ujarnya.

Siew Lyn ketika memberikan perkongsian berkaitan kewartawanan alam sekitar di Malaysia.

Siew Lyn turut menyuarakan harapan agar anak muda, tidak kira latar belakang, melihat isu alam sekitar sebagai sebahagian daripada semua bidang, termasuk politik, ekonomi dan sosial.

“Walaupun seseorang itu memilih untuk fokus pada politik, kekeluargaan atau undang-undang, saya harap mereka tetap menilai isu melalui lensa alam sekitar kerana semuanya saling berkait,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memberikan perkongsian dalam program International Environmental Communication Workshop 2025 di Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, semalam.

Program tersebut mendapat sokongan penuh Pulitzer Center, sebuah badan antarabangsa berpangkalan di Amerika Syarikat, yang menyokong usaha memupuk kesedaran isu global terpinggir melalui sokongan kewartawanan berkualiti dan program pendidikan awam.

Seramai 40 orang pelajar daripada lima fakulti berbeza termasuk Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Fakulti Alam Bina, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Fakulti Sains Gunaan serta Fakulti Perladangan dan Agroteknologi menyertai bengkel berkenaan.

Farhana Nizam
/ Published posts: 4

Menulis bukan untuk disukai, tapi untuk menyedarkan.