SHAH ALAM: Polis menahan seorang penuntut universiti berusia 22 tahun dan merampas dadah jenis methamphetamine seberat 0.5gram dalam serbuan di taman permainan Pangsapuri Seksyen 7 di sini Jumaat lepas.
Serbuan kira-kira jam 3 pagi itu dilakukan sepasukan anggota dari Balai Polis Seksyen 6 di sini.
Timbalan Ketua Polis Balai Seksyen 6, Sarjan Mejar Khairi Helmi Abdul Wahab berkata, lima anggota polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima aduan penyalahgunaan dadah daripada penduduk pangsapuri tersebut.
“Sebaik tiba di lokasi, suspek sedang baring di bangku dan cuba melarikan diri sejurus diserbu.
“Anggota polis mengejar suspek sejauh tiga kilometer sebelum suspek tersadung di jalan dan hampir dilanggar kenderaan pacuan empat roda,” katanya ketika ditemu bual.
Hasil pemeriksaan ke atas tubuh suspek menemui dadah jenis methamphetamine seberat 0.5-gram dari poket seluarnya.
Menurut Khairul Hilmi, suspek cuba memujuk agar dirinya dilepaskan kerana mendakwa dadah tersebut bukanlah miliknya.
“Suspek telah dibawa ke tandas untuk menjalani ujian saringan awal air kencing dan didapati positif dadah. Namun, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau yang berkaitan kes dadah.
“Suspek kemudian dibawa ke balai dan direman selama dua hari. Ketika disoal siasat, suspek didapati merupakan seorang pelajar di universiti berhampiran. Suspek memberi alasan tertekan kerana tidak mendapat pekerjaan bagi menampung kos kehidupan,” katanya.
Suspek direman dua hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
