452 views 50 secs 0 comments

Parcel Tak Sampai, Rupanya Dicuri Penghantar Sendiri

In Berita, Komuniti
June 25, 2025
“Gambar Hiasan”

SHAH ALAM – Seorang penghantar parcel warga asing ditahan selepas disyaki mencuri sebuah bungkusan milik seorang pelajar perempuan di sebuah pusat komersial di Seksyen 7, di sini, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Balai Polis Seksyen 6, Sarjan Mejar Khairi Helmi Abdul Wahab berkata, laporan diterima daripada seorang pelajar universiti berdekatan berusia 22 tahun, apabila bungkusan yang sepatutnya diterima hilang. 

“Pasukan kami meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapatkan maklumat daripada saksi awam sebelum berjaya mengenal pasti suspek,” katanya.

Tambahnya, suspek berjaya ditahan di kawasan pusat komersial yang sama, dalam serbuan kira-kira jam 8:00 malam oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Seksyen 6 dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Shah Alam.

Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, dan ujian saringan awal air kencing menunjukkan negatif dadah.

Keterangan saksi awam mengesahkan suspek merupakan penghantar parcel yang selalu membuat penghantaran di kawasan itu.

“Siasatan mendapati suspek pernah membuat penghantaran ke rumah mangsa. Pada hari kejadian, dia telah meninggalkan parcel di dalam peti surat dan menghantar gambar bukti kepada mangsa yang tiada di rumah.

“Namun, ketika melalui semula kawasan tersebut selepas penghantaran berikutnya, dia ternampak parcel terkeluar dari peti surat dan bertindak mengambilnya,” jelas Sarjan Khairi.

Tambahnya, suspek sudah direman dan bahagian pendakwaan kini sedang melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. 

Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda atau sebatan.

Nurfarzana Atiqah Mohamad Rozaidee
/ Published posts: 2

Menulis Untuk Membuka Mata