
SHAH ALAM – Atlet angkat berat kebangsaan, Aniq Kasdan dan pemanah elit, Nurul Azreena Mohamad Fazil dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati UiTM 2024 pada Majlis Anugerah Sukan UiTM (MAS) 2024 di Dewan Agung Tuanku Canselor, di sini.
Aniq, 23, mencipta sejarah apabila memenangi anugerah tersebut buat kali ketiga berturut-turut sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai ikon sukan UiTM.
Menurut Aniq, pengiktirafan itu memberi motivasi besar untuknya menghadapi kelayakan Sukan Komanwel di Amirabad, India pada Ogos ini, diikuti kejohanan dunia pada Oktober dan Sukan SEA hujung tahun.
Aniq menyasarkan kelayakan ke Sukan Komanwel secara merit dan berhasrat memecahkan rekod baharu di kejohanan dunia.
“Saya akan cuba pecahkan rekod dan buat angkatan yang lebih baik,” katanya.
Dia juga memberitahu kini sedang menjalani fasa pemulihan daripada kecederaan sebelum ini dan sudah kembali menjalani latihan intensif.
Dalam usaha mengekalkan prestasi, Aniq turut menekankan kepentingan persediaan mental dan sentiasa menjalani sesi bersama pakar psikologi untuk mengekalkan momentum.
Sementara itu, Nurul Azreena mengakui tidak menyangka akan dipilih sebagai Olahragawati UiTM 2024 memandangkan ramai atlet hebat lain dalam universiti.
“Saya sangat bersyukur dan ini jadi pembakar semangat untuk saya terus tingkatkan prestasi,” katanya.
Azreena kini sedang membuat persiapan menghadapi Sukan SEA hujung tahun ini melalui latihan intensif dan penyertaan dalam kejohanan luar negara.
Katanya, bimbingan ketua jurulatih baharu banyak membantu meningkatkan kemahiran, ketahanan dan kekuatan mental pasukan.
“Kami juga menjalani sesi bersama pakar psikologi beberapa kali seminggu bagi memastikan kami sentiasa bersedia dari segi mental,” katanya.
Anugerah disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Anesee Ibrahim yang turut merasmikan majlis berkenaan.
Sebanyak 18 kategori anugerah disampaikan bagi mengiktiraf sumbangan atlet, jurulatih, pengurus, alumni dan staf sukan yang mengharumkan nama universiti sepanjang tahun 2024.
Antara kategori utama yang dipertandingkan termasuk Anugerah Olahragawan, Olahragawati, Anugerah Khas, Anugerah Emas, Anugerah Tokoh Sukan dan Anugerah Hall of Fame Atlet UiTM