80 views 37 secs 0 comments

UiTM beri jaminan pantau harga, kualiti makanan di kampus seluruh negara

In Berita, Kampus
April 17, 2026
Dr. Mohd Sazili (tiga dari kanan) bersama Ayob Khan Mydin (empat dari kanan), Hakimsa (dua dari kanan), dan Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub memotong riben sebagai gimik Perasmian Cafe Hakim di Pusat Sukan UiTM Shah Alam, pada Khamis. Gambar: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) memberi jaminan memantau harga dan kualiti makanan di 34 kampusnya berikutan pergolakan geopolitik di Asia Barat yang memberi impak kepada ekonomi negara.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, berkata tindakan tersebut bertujuan memastikan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan bagi mengaut lebih keuntungan.

“Pemantauan itu memfokuskan kepada harga yang konsisten dan kualiti makanan supaya kepentingan pelajar lebih terjamin,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Hakim Cafe di Pusat Sukan UiTM Shah Alam, di sini pada Khamis. 

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, dan Pengarah Urusan Restoran Hakim Sdn. Bhd., Datuk Hakimsa Abdul Karim.

Dalam perkembangan berlainan, Dr. Mohd Sazili berkata, UiTM sedang meneliti pendekatan yang lebih sistematik bagi mempromosi inisiatif menu Rahmah yang diperkenalkan bulan lalu.

Katanya, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada langkah berterusan kerajaan dalam membantu pelajar kurang berkemampuan menikmati makanan berkhasiat pada harga berpatutan.

“Kita ada menerima aduan daripada peniaga yang menanggung kerugian kerana inisiatif tersebut tidak mendapat sambutan baik daripada pelajar.

“Kebajikan pelajar perlu dijaga, tetapi pihak pengusaha juga tidak boleh menanggung sebarang kerugian,” jelasnya.

Aina Nasruddin
/ Published posts: 1

Di antara kata, ada makna