SHAH ALAM: Pasukan Shah Alam United (SA United) terpaksa akur dengan kekalahan 2-1 ke atas pasukan Gombak FA dalam perlawanan Liga Super FAS 2026 yang berlangsung di Radia Arena, Ahad lalu.
SA United terlebih dahulu membuat jaringan gol pada minit ke-31 menerusi satu rembatan luar kotak penalti oleh pemain tengah, Muhammad Irfan yang berjaya menewaskan penjaga gol Gombak FA.
Kelebihan itu tidak bertahan lama apabila pasukan tuan rumah berjaya bangkit dengan menjaringkan dua gol pantas hanya dalam tempoh empat minit sahaja.
Afiq Zahris berjaya menyamakan jaringan pada minit ke-33 sebelum Adam Mukhriz melebarkan kedudukan Gombak FA pada minit ke-36.
Sejurus sebelum tamat separuh masa pertama, berlaku insiden melibatkan pemain kedua-dua pasukan yang menyaksikan dua kad merah dilayangkan pengadil kepada pemain Gombak FA dan Shah Alam United.
Beraksi dengan 10 orang pemain, kedua-dua pasukan dilihat buntu untuk menambah jaringan di separuh masa kedua, menyaksikan keputusan 2-1 kekal sehingga tiupan wisel penamat.

Sementara itu, Ketua Pasukan SA United, Muhammad Farid berkata layangan kad merah bukanlah punca utama kekalahan pasukan pada perlawanan tersebut.
“Punca utama kekalahan pasukan pada malam ini bukanlah daripada insiden layangan kad merah, tetapi disebabkan pemain terlalu “overconfident” selepas jaringan pertama,” katanya.
Ketua Jurulatih SA United, Nadzri Abu Bakar menyifatkan keputusan pengadil melayangkan kad merah adalah tidak adil selepas pemainnya dipercayai ditumbuk terlebih dahulu oleh pemain Gombak FA.

Tambah beliau, moral pasukan juga perlu dipertingkatkan meskipun pasukannya ketinggalan.
“Selepas tamat separuh masa, boleh nampak pemain kita semua kecewa dan perkara tersebut yang perlu kita perbaiki untuk perlawanan yang seterusnya.” ujarnya.

Pasukan SA United selepas ini akan bertemu pasukan NPNG FC, pasukan yang berpangkalan di Damansara Perdana pada bulan Mei di Padang Radia Arena A.
