‘Kasi’ Kucing Bukan Kejam, Si Bulus Berhak Terima Kasih Sayang

In Gaya Hidup, Rencana
April 27, 2026
Penempatan kucing terbiar di Galeri Animal Malaysia (Sumber: Persatuan Haiwan Malaysia)

SHAH ALAM – Nasib kucing terbiar sering berakhir di jalanan, tanpa perlindungan dan arah yang pasti. Mereka mengais sisa makanan, mencari teduh di celah bangunan dan menanggung derita sakit tanpa rawatan, bergantung sepenuhnya pada belas ihsan manusia demi kelangsungan hidup.

Namun, apabila ada individu yang membantu organisasi kebajikan memandulkan haiwan comel ini, tindakan itu sering disalahfahami sebagai kejam dan tidak bertanggungjawab. 

Hakikatnya, pemandulan kucing bukan tentang pengabaian, tetapi tentang usaha memberi peluang kepada ‘si bulus’ untuk hidup dengan lebih baik. 

Prihatin dengan isu ini, Persatuan Haiwan Malaysia memainkan peranan bukan sahaja menjaga kebajikan haiwan terbiar, malah turut berusaha mendidik masyarakat tentang kepentingan memandulkan kucing jalanan. Kucing yang diterima akan dirawat, dimandulkan sebelum diberikan kepada keluarga angkat .

Menurut wakilnya, Khairatul Najmi, 30, terdapat kes di mana kucing dibuang hanya kerana tidak menepati kehendak pemilik.

“Kadang-kadang hanya sebab rupa tak cantik atau pemilik rasa susah nak jaga, kucing terus dibuang,” jelasnya kepada Shah Alam Times. 

“Kalau diserahkan kepada pihak yang boleh jaga, sekurang-kurangkan mereka ada peluang untuk dapat keluarga baharu,” katanya merujuk kepada program kucing angkat sebagai solusi terbaik.

Khairatul Najmi, Wakil Persatuan Haiwan Malaysia

Inisiatif ini diteruskan melalui program kucing angkat yang berlangsung pada 25 April di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, melibatkan 13 ekor kucing yang telah dirawat dan sedia menerima keluarga baharu.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Khairul Aiman Bin Hashim, 34, menjelaskan bahawa isu kucing terbiar semakin membimbangkan akibat kadar pembiakan yang tinggi.

“Seekor kucing boleh beranak hingga tiga kali setahun dan setiap kelahiran boleh mencecah sebanyak enam ekor.

“Dalam masa singkat, satu kawasan boleh mempunyai puluhan kucing terbiar,” katanya.

Khairul Aiman Hashim, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran

Tambahnya lagi, persepsi bahawa pemandulan kucing itu kejam perlu diperbetulkan.

“Daripada dibiarkan kelaparan atau dibuang, lebih baik dimandulkan agar tidak terus membiak. Itu sebenarnya lebih berperikemanusiaan,” jelas Khairul Aiman.

Bagi Amirah Nadia, salah seorang pengunjung program kucing angkat ini, beliau berkata program tersebut membuka mata masyarakat bahawa isu kucing terbiar adalah tanggungjawab bersama.

“Kita tak boleh salahkan satu pihak sahaja. Bila tengok sendiri keadaan kucing-kucing ini, kita sedar mereka memang perlukan bantuan,” ujarnya.

Amirah Nadia, pengunjung program kucing angkat

Program kucing angkat bukan sekadar mencari pemilik baharu, tetapi juga mengubah cara masyarakat memandang tindakan ‘kasi kucing’. Setiap nyawa, walaupun hanya seekor kucing jalanan, tetap berhak dihargai. 

Jika bukan tangan kita yang memilih untuk membelai dengan penuh cinta, siapa lagi yang akan memberi ‘si bulus’ peluang untuk merasai kasih sayang yang tulus?

Syazwani Hasnan
/ Published posts: 3

Kebenaran bermula daripada keberanian untuk bertanya