20 views 3 mins 0 comments

Jurang Komunikasi Punca OKU Pendengaran Sukar Dapat Akses Rawatan Kesihatan Berkualiti

In Berita, Komuniti
May 02, 2026
Peserta Karnival Inklusiviti 2.0 mendapatkan rawatan pergigian di klinik bergerak UM - SAT

SHAH ALAM – Jurang komunikasi di antara Orang Kelainan Upaya (OKU), khususnya OKU pendengaran dan pengamal perubatan di negara ini dilihat menjadi antara punca utama golongan tersebut sukar mendapat akses rawatan kesihatan yang berkualiti.

Pengerusi Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFDeaf), Mohamad Sazali Shaari berkata, golongan pekak sukar untuk memahami apa yang pegawai perubatan cuba untuk sampaikan semasa rawatan dilaksanakan.

“Persoalan tentang apakah langkah-langkah seterusnya untuk berkomunikasi dengan warga pekak patut dibincangkan dengan lebih serius dalam sektor perkhidmatan kesihatan,”

“Selama ini, pegawai perubatan akan memakai pelitup muka, sehingga menyukarkan untuk kami memahami apa yang cuba disampaikan oleh pegawai bertugas, dan timbul miskomunikasi,” katanya ketika ditemui di program Inclusivity Carnival 2.0 di Universiti Malaya, baru-baru ini.

Doktor gigi dan Presiden MSDeaf berkomunikasi atas bantuan jurubahasa isyarat semasa mendapatkan rawatan gigi di klinik bergerak UM. – SAT

Program Karnival Inklusiviti 2.0 anjuran pelajar Sarjana Fakulti Pergigian UM itu bertujuan untuk meningkatkan akses kesihatan pergigian dan literasi penjagaan mulut buat komuniti orang pekak. 

Inisiatif ini menekankan kepentingan komunikasi inklusif melalui pengunaan Bahasa Isyarat Malaysia (IBM) bagi merapatkan jurang rawatan antara pengamal perubatan dan pesakit.

Pakar Pergigian Penjagaan Khas, Dr. Aisyah Ahmad Fisal, memberikan ceramah penjagaan kesihatan gigi menggunakan manabot kepada peserta dengan bantuan jurubahasa isyarat – SAT

Mengulas lanjut,  Mohamad Sazali menyarankan pegawai perubatan mempelajari dan mempraktikkan bahasa isyarat bagi memudahkan mereka berinteraksi dengan golongan tersebut. 

Bagi Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Dr. Ong Shin Ruenn pula, usaha kumpulan pelajar sarjana pergigian ini ingin merapatkan jurang komunikasi antara pengamal perubatan dan warga pekak. 

“Pendedahan ini adalah permulaan yang kita harapkan untuk membantu ramai lagi warga pekak diluar sana yang mempunyai latar belakang dan keperluan hidup yang berbeza-beza.

“Kerajaan akan melihat penerapan bahasa isyarat ini sebagai satu keperluan, sekiranya kita dapat menekankan lagi keperluan jurubahasa dalam sektor perubatan melalui program seperti ini,” tambahnya.

Presiden MSDeaf, Dr.Ong Shin Ruenn bersama Pengarah Eksekutif Persukutuan Orang Pekak Malaysia (MFD),  Mohamad Sazali Sha’ari – SAT

Pakar Kesihatan Mulut, Profesor Dr Jacob John Chiremel Chandy berkata, inisiatif yang diterajui sepenuhnya oleh pelajar sarjana itu menekankan pendekatan  penyelesaian isu kesihatan mengikut keperluan komuniti yang berbeza secara tahunan.

“Kami mahu mendedahkan pelajar dan masyarakat tentang keperluan rawatan bagi mereka yang mempunyai kekangan fizikal atau intelektual melalui kepakaran pergigian penjagaan khas yang kami miliki,” jelasnya yang juga penasihat karnival tersebut.

Hana Shuhardi
/ Published posts: 1

“Kita tidak boleh pernah berhenti untuk berbicara kebenaran” – Mohammad Hatta.