68 views 2 mins 0 comments

Legasi Keluarga Inspirasi Gapai Gelaran Doktor Falsafah

In Berita, Kampus
May 09, 2026
Dr. Dewi Seribayu Nordin Selat ketika ditemu bual oleh Shah Alam Times selepas sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104, di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam (Gambar oleh Nureen Batrisyia)

SHAH ALAM – Legasi keluarga menjadi pembakar semangat buat Dr. Dewi Seribayu Nordin Selat, 29, menamatkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Komunikasi dan Pengajian Media.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu berkata, keputusan menyambung pengajian di peringkat PhD didorong oleh hasrat untuk meneruskan legasi keluarga dalam bidang akademik sejak era 70-an.

“Ia seperti satu tradisi keluarga untuk sentiasa mengembangkan ilmu. 

“Semuanya bermula apabila bapa saya memperoleh PhD pertamanya sekitar tahun 1970-an,” katanya kepada Shah Alam Times.

Dr. Dewi Seribayu turut mengakui cabaran terbesar sepanjang pengajian adalah pengurusan masa apabila dia perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai pensyarah serta komitmen sebagai pelajar PhD pada masa yang sama.

“Ia bukan tugas yang mudah. Kita ada tugas hakiki di fakulti, tetapi dalam masa yang sama, saya perlu korbankan hujung minggu dan waktu malam untuk menyelesaikan PhD,” ujarnya selepas tamat sidang pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-104, pada Rabu.

Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, Dr. Dewi Seribayu bersyukur apabila perjalanan pengajiannya disokong oleh para pelajar yang sentiasa memberi dorongan serta menunjukkan minat terhadap penyelidikan yang dijalankan.

“Pelajar saya sentiasa terbuka untuk mendengar tentang penyelidikan saya dan berminat dengan apa yang saya lakukan.

Alhamdulillah, kejayaan ini untuk mereka juga,” jelasnya.

Dia menitipkan nasihat kepada komuniti pelajar, khususnya pelajar PhD serta mereka yang berhasrat ingin menyambung pengajian di peringkat tersebut agar tidak terlalu tertekan dan sebaliknya menikmati proses pembelajaran.

“Bila daftar PhD, kita sebenarnya dah bersedia untuk berdepan dengan tekanan. Tetapi kita juga perlu menikmati proses itu dan setiap perkara yang dipelajari perlu dihargai,” jelasnya.

Dr. Dewi Seribayu antara 280 graduan PhD dalam pelbagai bidang termasuk sepuluh graduan Sarjana Kepakaran Klinikal Perubatan yang menerima ijazah masing-masing pada sidang pertama tersebut.

Farahin Zaidi
/ Published posts: 3

Menulis biarlah telus dengan niat yang tulus