SHAH ALAM, 10 Mei – Sebanyak empat premis pusat kecantikan dan penjagaan kesihatan di sekitar Jalan Prima Setia Alam, Seksyen U13 di sini diarahkan tutup selepas didapati beroperasi tanpa lesen sah dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada Jumaat.
Operasi bermula jam 9 malam hingga 12 tengah malam itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pematuhan undang-undang serta syarat pelesenan ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
Operasi diketuai Penolong Pengarah Kanan MBSA, Zakaria Mat Piah, bersama Pengurus Pejabat Cawangan Setia Alam MBSA, Zailan Sanusi dan Penolong Pegawai Penguatkuasa MBSA, Imran Ahmad.
MBSA dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak enam premis membabitkan aktiviti pusat kecantikan dan penjagaan kesihatan diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati empat premis beroperasi tanpa lesen sah, manakala tindakan sitaan peralatan turut dilakukan terhadap tiga premis.
“Empat premis juga diarahkan tutup kerana melanggar syarat pelesenan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut MBSA, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan mengikut Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan (MBSA) 2013.
Katanya, kesalahan utama dikesan adalah menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen yang sah daripada pihak majlis.
Operasi itu membabitkan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan MBSA, Jabatan Pelesenan MBSA, Pejabat Cawangan Setia Alam MBSA, Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA serta PDRM.
MBSA berkata, operasi bersepadu itu bertujuan membanteras aktiviti perniagaan tanpa lesen selain memastikan semua premis mematuhi syarat pelesenan serta undang-undang yang berkuat kuasa.
“Langkah ini penting bagi menjamin kesejahteraan dan ketenteraman awam di kawasan pentadbiran MBSA,” kata kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, MBSA akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan menasihatkan pemilik premis supaya sentiasa mematuhi syarat lesen serta peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
