46 views 2 mins 0 comments

Gelagat Keluarga ‘Berkelah’ Curi Tumpuan Pengunjung Konvokesyen 

In Uncategorized
May 18, 2026
Naza dan anak lelakinya mencuri tumpuan ramai apabila duduk di atas tikar berhampiran laluan utama. 

SHAH ALAM, 13 Mei – Kemeriahan sesebuah majlis konvokesyen tidak hanya terletak kepada upacara atau pun kemunculan gerai di tapak pesta sahaja.

Namun, gelagat pengunjung, khususnya ahli keluarga graduan yang hadir, turut mencuri perhatian orang ramai.

Antaranya, gelagat sebuah keluarga yang memilih ‘berkelah’ di atas tikar getah berhampiran laluan utama di sebelah Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) yang menjadi venue utama konvokesyen.

Bercakap kepada Shah Alam Times, wakil keluarga tersebut, Naza Rahman, 60, berkata, keluarganya memilih lokasi tersebut kerana berasa lebih lapang dan dingin berbanding duduk di tempat tertutup yang disediakan penganjur.

“Apabila duduk di luar, udara tidak terperangkap seperti di tempat menunggu, jadi saya rasa lebih sejuk dan selesa sambil melihat pemandangan persekitaran. 

“Saya sampai di sini seawal jam 11.30 pagi, jadi sementara menunggu, saya layari media sosial dan mengaji sambil mengikut dengar orang mengaji, jadi kita pun ikut mengaji sekali,” jelasnya.

Naza dan keluarga hadir memberi sokongan kepada anak saudaranya yang menamatkan pengajian peringkat diploma di Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak. 

Sebagai persiapan, ibu kepada seorang anak ini menyediakan kerepek dan cekodok pisang sebagai bekalan makanan untuk dikongsi dengan ahli keluarganya.

Walaupun agak ringkas, aktiviti sedemikian begitu bermakna baginya kerana mereka dapat berkumpul sambil meraikan kejayaan keluarga terdekat. 

“Kesemua makanan ini saya bawa dari rumah bersama tikar kerana tidak mahu berebut tempat dengan orang lain.“Hubungan kami sekeluarga memang rapat, sampaikan dia dan anak-anak saudara yang lain semua panggil saya Ibu,” katanya yang berasal dari Felda Jempol, Negeri Sembilan.

Selain keluarga Naza, beberapa lokasi sekitar DATC seperti parkir bertingkat dan perkarangan surau tambahan turut menjadi pilihan pengunjung untuk berkumpul sambil merakamkan gambar kenangan bersama kenalan dan sanak saudara yang hadir.   

Suraya Mohd Asri
/ Published posts: 2

Striving for truthful storytelling