11 views 2 mins 0 comments

MTEN Ambil Langkah Awal Hadapi El Nino

In Ekonomi
June 13, 2026
Siaran langsung Taklimat Krisis Bekalan Global oleh Menteri Ekonomi membincangkan persediaan ekonomi negara dalam menghadapi krisis tersebut. - Facebook Kementerian Ekonomi

SHAH ALAM –  Persiapan rapi mendepani fenomena cuaca ekstrem El Nino menjadi antara agenda utama Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam usaha memelihara kestabilan makroekonomi dan bekalan negara.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, bagi memastikan kesiapsiagaan awal di semua peringkat, MTEN memutuskan supaya Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerajui libat urus serta memberi taklimat risiko El Nino kepada semua negeri.

“Risiko ini kita tidak boleh ambil mudah. Ia boleh menjejaskan bekalan air, meningkatkan risiko jerebu, memberi tekanan kepada kesihatan awam, menjejaskan tanaman makanan dan komoditi, meningkatkan permintaan tenaga, seterusnya boleh memberi kesan kepada ekonomi makro secara keseluruhan,” tegas beliau. 

Beliau menjelaskan fenomena yang dijangka bermula bulan Jun berterusan sehingga pertengahan tahun 2027 berpotensi mengurangkan taburan hujan antara 40 hingga 60 peratus  di beberapa negeri.

Sekaligus El Nino boleh menjejaskan hasil produk agrokomoditi sebanyak lapan hingga sepuluh peratus. 

Mengimbas corak krisis lalu, beliau mengingatkan Impak El Nino pada tahun 2015 dan 2016 pernah mencatatkan suhu melebihi 37 darjah Celcius sehingga menjejaskan sekitar 16 hingga 18 peratus pengeluaran kelapa sawit. 

Sebagai langkah awal, Akmal memaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) kini mengaktifkan langkah kesiapsiagaan 24 jam merangkumi pemantauan cuaca, penyebaran amaran dan penyediaan sistem penarafan bahaya kebakaran.

“MET Malaysia juga telah mengaktifkan langkah awal termasuk kesiapsiagaan untuk melaksanakan operasi pembenihan awan sekiranya keadaan terus mendesak,” jelasnya ketika menyampaikan taklimat Krisis Bekalan Global di Facebook kementerian tersebut pada Khamis. 

Pendekatan ini merupakan sebahagian daripada pengurusan krisis berasaskan data oleh MTEN yang kini memantau 113 indikator berfrekuensi tinggi bagi mengawal kestabilan ekonomi dan kebajikan isi rumah.

Hana Shuhardi
/ Published posts: 4

“Kita tidak boleh pernah berhenti untuk berbicara kebenaran” – Mohammad Hatta.