SHAH ALAM – Trend penggunaan aplikasi temu janji berasaskan lokasi kini dikesan menjadi punca utama mengapa angka kes jangkitan virus HIV dalam kalangan golongan mahasiswa di negara ini sukar diturunkan.
Setiausaha Malaysian Society For HIV Medicine (MASHM) , Dr. Rosnida Noh mengesahkan platform sosial popular seperti Tinder dan Grindr mempercepatkan aktiviti seksual berisiko, sekali gus menyukarkan usaha membendung penularan tersebut.
“Aplikasi seperti Tinder dan Grindr ini mempermudahkan individu mencari pasangan dengan sangat cepat, sekali gus menggalakkan hubungan seksual berisiko yang akhirnya menyumbang kepada kekerapan jangkitan HIV,” tegasnya.

Beliau yang juga doktor pakar di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM, mendedahkan, meskipun evolusi perubatan kini mampu mencegah jangkitan hampir 100 peratus menerusi ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP), kekangan kos di peringkat universiti masih menjadi tembok penghalang bagi golongan mahasiswa.
“Walaupun kini sudah ada ubat untuk mencegah jangkitan HIV diberikan secara percuma di klinik kerajaan, tetapi, itu bukan tiket untuk individu melakukan hubungan seks bebas.
“Ubat PrEP ini memang diberikan secara percuma di klinik kerajaan, namun di premis swasta termasuk Hospital Al-Sultan Abdullah (HSA) UiTM, ia boleh didapati dengan harga sekitar RM40.00 tidak termasuk kos ujian darah serta saringan lain,” katanya dalam program Break The Stigma: HIV / AIDS Podcast semalam.

Pengarah Program ‘Break the Stigma’, Alya Razak, turut melihat landskap kebebasan bersosial tanpa batasan di peringkat universiti sebagai punca utama mahasiswa mudah terjerat dengan lambakan aplikasi temu janji tersebut.
“Pelajar sekarang lebih bebas bersosial dan majoriti daripada mereka cenderung menggunakan aplikasi temujanji ini untuk mencari kenalan sehingga membawa kepada pertemuan kerap yang akhirnya mencetuskan aktiviti tidak bermoral,” katanya.

Dia menegaskan, program kesedaran tersebut dianjurkan bagi membuka mata warga kampus mengenai ancaman HIV yang kini menular umpama barah, selain menasihati para pelajar agar sentiasa menetapkan batasan pergaulan demi menjaga masa depan.
