34 views 2 mins 0 comments

Niat kongsi rezeki jadi titik awal perniagaan bekas ‘kapten’

In Bisnes, Ekonomi, Usahawan
July 11, 2026
Nasi Lemak Captain Max yang tersedia di Roti Kitab Anjung 7, Shah Alam

SHAH ALAM – Bermula dengan hasrat ingin berkongsi rezeki pada bulan Ramadan, seorang bekas juruterbang kini berjaya membina perniagaan membekalkan nasi lemak ke lebih 20 premis di sekitar Shah Alam.

Pengusaha Nasi Lemak Captain Max, Shahmil Amal Mohd Mukhtar, 54, berkata, idea untuk berniaga tercetus apabila dia menyediakan nasi lemak bungkus untuk diinfakkan sepanjang bulan Ramadan beberapa tahun lalu.

“Pada mulanya, kami hanya memberi infak pada bulan Ramadan sahaja, namun setelah permintaannya semakin mendapat sambutan yang hangat, saya dan isteri membuat keputusan untuk memulakan perniagaan nasi lemak ini,” katanya kepada Shah Alam Times.

Jelas Shahmil Amal, dia memulakan perniagaan jualan nasi lemak secara kecil-kecilan pada tahun 2020, setelah pandemik COVID-19 melanda negara.

“Pada peringkat awal perniagaan, kami hanya menghantar bekalan nasi lemak ke beberapa kedai mamak, dan hari demi hari, permintaan nasi lemak kami semakin meningkat. Ramai pemilik restoran yang menghubungi saya untuk membekalkan nasi lemak saya di restoran mereka setiap hari.

“Dengan penuh rasa syukur, nasi lemak kami kini telah dibekalkan ke 21 premis di sekitar Shah Alam termasuklah restoran mamak, kafe dan stesen minyak,” jelasnya ketika ditemu bual.

Sepanjang tempoh perniagaannya, Shahmil Amal mengakui kebanyakan hasil jualan diperoleh melalui tempahan, terutamanya pada hujung minggu dan selepas musim hari raya, baru-baru ini.

Tempahan terbesar yang pernah diterima pernah mencecah sebanyak 1,000 bungkus untuk satu majlis perasmian sebuah syarikat di Glenmarie, di sini.

Menurutnya lagi, kejayaan tersebut dicapai secara berperingkat dengan mengutamakan rasa yang konsisten dan kualiti makanan demi kepuasan pelanggan.

Walaupun Shahmil Amal kini bergelar usahawan sepenuh masa, namun dia masih menerbangkan pesawat secara sambilan kerana minatnya dalam dunia penerbangan.

Ain Khabil
/ Published posts: 3

From me, to you