SHAH ALAM – Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang tahun 2030 berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), susulan peningkatan ketara bilangan penduduk berusia 60 tahun ke atas.
Perubahan demografi ini dijangka memberi implikasi besar terhadap keperluan penjagaan, penyediaan tenaga kerja serta pembangunan kemudahan yang mampu menyokong kesejahteraan golongan warga emas.
Peningkatan jangka hayat penduduk turut menyumbang kepada pertambahan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan.
Pada masa yang sama, perubahan struktur keluarga, saiz isi rumah yang semakin kecil, mobiliti pekerjaan yang tinggi serta peningkatan bilangan pasangan yang bekerja sepenuh masa menjadikan penjagaan bukan lagi sekadar tanggungjawab keluarga, sebaliknya satu keperluan yang memerlukan sokongan sistematik.
Seiring perkembangan tersebut, industri penjagaan semakin mendapat perhatian sebagai satu sektor yang memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan masyarakat.
Industri ini merangkumi pelbagai perkhidmatan, institusi dan tenaga kerja yang menyediakan penjagaan kepada individu yang memerlukan, termasuk warga emas, kanak-kanak, individu kurang upaya dan mereka yang memerlukan sokongan jangka panjang.
Antara yang mengambil peluang menceburi industri baru ini ialah Nik Nur Fatihah Nik Alfatah, Penyelaras Program Akademik di bawah MyCareTua.
Menurut Nik Nur Fatihah, isu warga emas bukan sekadar tangungjawab keluarga namun ia merupakan keperluan negara yang perlu ditangani bersama.
“Ini bukan tanggungjawab kita sahaja, ini tanggungjawab semua untuk memenuhi keperluan negara. Keluarga kita sendiri pun akan menua suatu hari nanti.” katanya.
Zara Aisyah Care Center yang kini lebih dikenali sebagai ZACC MyTOWN merupakan antara pusat jagaan warga emas yang mengambil langkah awal dalam menghadapi peningkatan keperluan tersebut.
Ditubuhkan pada tahun 2015 dengan kapasiti awal hanya 21 katil, kini pusat tersebut mampu menempatkan sehingga 136 penghuni.

Nik Nur Fatihah menjelaskan konsep penjagaan di ZACC MyTOWN bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, tetapi cuba mewujudkan suasana seperti rumah melalui pendekatan “home to home”.
Pendekatan tersebut bertujuan memastikan warga emas berasa selesa dan mempunyai kualiti hidup yang baik walaupun berada di pusat jagaan.
Selain keperluan asas, penghuni turut menjalani pelbagai aktiviti harian seperti fisioterapi, aktiviti rangsangan dan kelas agama asas mengikut kemampuan masing masing.
Segala aktiviti yang dijalankan akan dipantau oleh pasukan geriatrik (penjagaan kesihatan khusus untuk warga emas).
Bagi penghuni yang mengalami demensia, aktiviti seperti mewarna, permainan kognitif dan latihan kemahiran motor dilakukan bagi merangsang fungsi otak.

“Demensia memang tiada ubat, tetapi apa yang kita boleh lakukan adalah membantu memperlahankan kemerosotan mereka.” jelasnya.
Namun, cabaran terbesar dalam industri penjagaan warga emas ketika ini ialah kekurangan penjaga yang berkemahiran.
Menurut Nik Nur Fatihah, jumlah tenaga kerja yang tidak mencukupi boleh menyebabkan tekanan kepada penjaga warga emas kerana mereka perlu mengguruskan penghuni dengan keperluan yang berbeza.
“Pesakit sakit, mereka ada rawatan dan ubat. Tetapi penjaga pusat tiada ubat untuk tekanan.” jelas beliau lagi kepada Shah Alam Times.

Bagi menangani cabaran tersebut, MyCareTua berperanan melatih dan memperkasakan penjaga warga emas supaya lebih ramai tenaga kerja yang mahir dapat dilahirkan dalam industri penjagaan warga emas.
Selain aspek tenaga kerja, perubahan persepsi masyarakat juga penting kerana masih wujud stigma bahawa menghantar ibu bapa ke pusat jagaan bermaksud ‘anak derhaka’.
Namun, menurut Nik Nur Fatihah, pusat jagaan sebenarnya membantu keluarga memberikan penjagaan terbaik melalui sokongan profesional.
Dalam menghadapi negara menua 2030, beliau menegaskan bahawa Malaysia memerlukan kerjasama antara kerajaan, industri dan masyarakat untuk membina ekosistem penjagaan warga emas yang lebih kukuh.
“Kita tidak boleh buat seorang diri. Kita perlukan komuniti dan operator lain kerana ini bukan keperluan satu pusat jagaan, tetapi keperluan negara,” katanya.
Dengan persediaan dari segi kemahiran penjaga, kemudahan penjagaan dan perubahan stigma masyarakat, Malaysia mampu menghadapi cabaran negara menua dengan lebih bersedia serta memastikan golongan warga emas terus dihargai dan dijaga dengan sebaiknya.

