448 views 2 mins 0 comments

UiTM komited banteras rasuah, perkukuh integriti 

In Berita, Kampus
October 30, 2025
Sesi tandatangan Ikrar Bebas Rasuah UiTM bersama SPRM

SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menzahirkan komitmen teguh terhadap usaha membanteras rasuah dan memperkukuh integriti dengan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ts. Dr Shahrin Sahib, menegaskan komitmen universiti dalam memperkukuh budaya integriti serta menolak sebarang bentuk penyelewengan.

“UiTM sentiasa komited untuk memperkukuh nilai integriti dan menolak rasuah dalam semua aspek pentadbiran serta pengurusan.

“Integriti bukan sekadar kata-kata, tetapi perlu diterjemahkan dalam tindakan dan cara kita bekerja, memimpin dan melaksanakan amanah,” katanya pada majlis menandatangani IBR tersebut yang diadakan di sebuah pusat membeli-belah di sini, pada Khamis lalu.  

Majlis disaksikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Datuk Seri Azam Baki yang mewakili badan penguatkuasa tersebut.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail; Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli; Pengarah Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM Merangkap Pengerusi 1 ISDIF 2025, Prof Madya Ts Dr Roslinda Alias; Pengarah Bahagian Integriti UiTM, Mohd Hafiz Ramlee; Barisan Pengurusan Eksekutif dan Pengurusan Kanan UiTM. 

Dr. Shahrin melafazkan ikrar, disaksikan oleh Azam Baki

Tambah Dr Shahrin, pelaksanaan ikrar tersebut bukan sekadar acara simbolik, tetapi satu komitmen moral yang mesti dizahirkan melalui tindakan.

“Ikrar Bebas Rasuah ini bukan sekadar acara, tetapi satu tanggungjawab moral untuk kita semua laksanakan dalam kehidupan dan pekerjaan seharian.

“Kita mahu setiap warga UiTM, sama ada staf mahupun pelajar, menjadi contoh kepada masyarakat dalam menjunjung nilai kejujuran dan akauntabiliti,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Datuk Seri Azam Baki, menegaskan bahawa usaha memerangi rasuah perlu bermula dari peringkat universiti sebagai langkah awal melahirkan generasi pemimpin yang berintegriti.

“Usaha memerangi rasuah perlu bermula di sini, di universiti tempat lahirnya bakal pemimpin negara,” katanya.

Beliau turut menekankan peranan institusi pendidikan dalam membentuk nilai moral dan prinsip kejujuran dalam kalangan pelajar.

“Institusi pendidikan seperti UiTM memainkan peranan besar dalam membentuk generasi muda yang berintegriti dan menolak rasuah,” ujarnya.

Izzaty Akmar
/ Published posts: 2

Clarity over noise - simply, the story