693 views 2 mins 0 comments

Muhammad Safwan sasar podium di Sukan Para ASEAN 2025

In Berita, Sukan
November 01, 2025
Kejayaan merangkul enam pingat emas pada Kejohanan PREPJ X Madwave Swim Challenge Johor 2025 menjadi pembakar semangat kepada Muhammad Safwan untuk sekali lagi mencatat keputusan membanggakan dalam temasya Sukan Para ASEAN 2025, Januari tahun depan. (Foto ihsan Muhammad Safwan Suhaimi)

SHAH ALAM – Atlet renang paralimpik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammad Safwan Suhaimi, meletakkan sasaran untuk menjejak podium di ASEAN Para Games 2025 yang dijadual berlangsung di Thailand pada 20 hingga 26 Januari depan.

Pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu kini menjalani latihan intensif selama tiga bulan di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) bermula 7 November hingga 16 Januari sebagai persediaan ke temasya berprestij tersebut.

Katanya, tumpuannya kini terarah kepada dua acara utama iaitu gaya bebas, dan gaya kuak lentang.

“Fokus saya sekarang ialah menambah baik teknik dan stamina bagi memastikan catatan masa saya lebih konsisten sebelum ke Thailand nanti,” katanya kepada Shah Alam Times.

Muhammad Safwan berada pada prestasi terbaik ketika ini selepas meraih enam pingat emas di Kejohanan PREPJ X Madwave Swim Challenge Johor 2025.

Kejohanan tersebut merupakan pertandingan renang terbuka yang menghimpunkan perenang dari pelbagai peringkat termasuk atlet normal dan para, menjadikannya platform penting untuk Safwan mengukur prestasi menjelang aksi di peringkat antarabangsa.

“Walaupun jurulatih selalu pesan supaya jangan bandingkan diri dengan atlet normal, saya anggap itu sebagai cabaran untuk buktikan saya juga mampu,” ujarnya lagi.

Dia turut mengakui kejayaan di kejohanan itu menjadi pembakar semangat untuk terus memperbaiki catatan masa dan teknik renangan menjelang aksi di Thailand nanti.

Safwan turut menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan pasukan atas sokongan berterusan yang membantunya kekal fokus sepanjang tempoh latihan intensif.

“Kalau dulu saya pernah rasa nak berhenti sebab jadual latihan terlalu padat, tapi sekarang saya nampak hasilnya. Saya nak terus buktikan atlet paralimpik boleh harumkan nama negara,” tambahnya.

Dea Ahmad
/ Published posts: 3

Berkongsi cerita, mencipta kesedaran.